Haazihi Sabiili

Jumaat, 15 Disember 2017

Cinta dan Kasih Yang Pudar 2


Assalamualaikum,

Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah. Segala puji bagi Allah yang telah memberi kepada aku segenap nikmatNYA. Udara yang berada disekeliling, aku menghirupnya tanpa perlu aku bayar. Nikmat pancaindera yang sihat, diberi dengan percuma. Benar, betapa Pemurahnya Allah kepada kita.

Rasa lama juga aku tak menulis. Bukan sebab malas ke apa. Tapi sejak ada Facebook ni, segala tulisan aku, banyak aku campak ke sana. Tak sempat nak campak ke sini. Ya lah. Zaman kan berubah. Teknologi semakin canggih. Banyak bahan bacaan manusia sudah mula terfokus ke Facebook. Tak main dah blog-blog ni. Takpe lah. Kita raikan.

Petang-petang begini, saja ambil masa buat #terobek kat tulisan-tulisan aku dulu. Baru aku tahu, tahun 2010, tahun yang paling banyak aku menulis. Ada 45 tulisan sepanjang tahun tu. Hebat!. Entah apa yang aku tulis waktu tu. Zaman tak matang lagi tu.

Dalam banyak-banyak posting tu, aku terpanggil untuk buat sambungan pada tulisan aku yang bertajuk Cinta dan Kasih Yang Pudar”.

Entah kenapa aku terpanggil untuk menukilkan sambungan kepada kisah itu. Cuma mungkin laras bahasa sedikit berbeza. Al-maklumlah, aku dah semakin matang dalam menulis. Eheh.

Tentang ukhuwwah, cinta, redha, usaha dan banyak lagi.

Benarlah, ada takdir yang tidak pernah kita harapkan ianya berlaku, tetapi ianya aturan Allah. Susunan Allah. Di sisi Allah itulah yang terbaik dengan segala hikmah kebaikan.

Dalam tulisan itu, aku cerita panjang tentang sahabat aku. Sahabat baik.

Sahabat aku yang telah jatuh hati kepada seorang muslimah. Sahabatku ini seorang mujahid. Seorang yang berjuang. Lelaki ni, bila dia ikhlas mencintai berbekalkan dengan kefahaman islam, besar sungguh harapannya untuk merealisasikan cintanya hingga ke gerbang pernikahan. Tapi, apakan daya, Allah mentakdirkan muslimah itu menjadi milik orang lain.

Entahlah.

Entah kenapa kisah mereka pada aku kisah romantis Islami. Aku merasakan jalan kisah mereka seolah benar-benar dilorong oleh Allah Maha Pemilik Cinta.

Kisah mereka yang bermula di sebuah matrikulasi kawasan Selatan sana. Sahabat aku itu memang seorang lelaki yang sudah pun mempunyai perwatakan islami. Mana tidaknya, masa kat Matrikulasi dulu, dia ini join usrah. Budak usrah lah katakan. Geng masjid.

Muslimah yang dulunya seorang yang pernah hidup di zaman jahiliah kemudian, takdir Allah jua menentukan sahabatku itu menjadi saksi buat muslimah itu berhijrah. Sahabatku itu menasihatinya. Menjadi asbab hidayah kepada muslimah itu.

Asbab hidayah itu bukan sekadar muslimah itu mencintai Allah, tapi lebih lagi. Hingga akhirnya, muslimah itu berjaya ditempatkan dalam kelompok tarbiah. Lalu, mereka membesar di dalam tarbiah bersama-sama. Hadir ke program bersama-sama. Kadang-kadang, sahabat aku itu sering memberi siri tazkirah dan nasihat kepada muslimah itu demi memastikan muslimah itu ‘keep on the right track”. Cewah. Saling berkongsi masalah. Siapa tak cair bila ada yang sudi meminjamkan bahunya.

Seorang muslimah, bila ada yang ‘caring’ padanya, pasti dia akan cair. Pasti!. Apatah lagi yang caring itu seorang mujahid dakwah. Seorang yang dia hormati akan ilmunya.

Pada aku, langkah bermesejan dahulu memang suatu langkah yang tidak tepat. Tapi, dibalik setiap apa yang terjadi pada mereka, aku yakin disana ada ketentuan Allah. Allah susun sebegitu. Jika bukan asbab sahabatku itu, boleh jadi muslimah itu juga tidak merasai kasih Allah, tidak menjadikan syurga sebagai destinasi yang didambakan.

Alhamdulillah, dalam perhubungan mereka, telah Allah titipkan sinar hidayah. Si muslimah itu mula menyedari betapa salahnya apa yang dia buat dengan sahabatku itu. Memang sungguh, bila Allah mencintai hambaNYA, pasti akan dijagai olehNYA. Aku yakin, keikhlasan muslimah itu untuk berubah, lalu Allah detikkan rasa bersalah terhadap perhubungan mereka.

Aku faham perasaan muslimah itu. Benar, dia ada perasaan terhadap sahabatku itu, tapi dia juga ada perasaan kepada Allah, sang kekasih hakiki. Dia tak mahu apa yang dia buat ini tidak diredhai olehNYA. Dia takut. Dia kalau boleh mahu sahabatku itu memanifestasikan cintanya pada jalan yang halal iaitu khitbah. Melalui proses Baitul Muslim jamaah.

Hanya doa menjadi peneman. Hanya tahajud menjadi luahan. Dia berusaha untuk tidak lagi menghubungi sahabatku itu.

Segalanya berakhir pada waktu yang telah ditetapkan Allah. Mereka tidak lagi berhubung. Segala apa yang bakal Allah tentukan, mereka redha. Jika ada jodoh, pasti mereka akan bersama membina bahagia di mahligai cinta. Jika tak ada jodoh, maka cukuplah doa mengiringi kebahagiaan masing-masing.

Ya, itu semua dulu. Peristiwa entah manis, entah pahit, ia tetap akan menjadi sebuah memori yang bakal tersimpan rapi dalam ingatan dan doa.

Kini,

Masing-masing sudah membawa haluan diri.

Muslimah itu?.

Dia dah pun mengorak langkah membina hidup bersama suami dan anaknya yang tercinta. Orang tarbiah juga. Alhamdulillah. Seorang yang ada kedudukan dalam dakwah kampus.

Sahabatku itu?.

Hingga kini masih lagi berhubung dengan aku. Kata orang, BFF (best friend forever) lah. Tak dapat aku nafikan, perasaan dia dengan muslimah itu seolah sukarnya luntur. Seolah peristiwa 7 tahun lepas, baru sebulan berlalu. Ya, seperti aku katakan lah. Seorang lelaki yang setia, bila ia mencintai seorang wanita, setianya pada cinta itu menjadi infiniti.

Yang menjadi kerisauan aku, setia sahabatku itu kini mendatangkan “cannot moveon syndrome” kepada dia. Seolah sukar ia melupakan memori lalu. Seolah dalam hidupnya sehari-harian, kenangan dulu sentiasa saja berlegar di minda. Aku pernah mengutarakan beberapa calon untuknya, namun ditolaknya. Perasaannya masih belum bersedia. Baginya, cinta pertama itu adalah cinta yang ikhlas dan sukar dilupakan.

Teringat akan apa yang pernah aku nasihat kepadanya dulu.

“Dia bukan milik enta akhi. Dia milik Allah. Jangan terlalu mengharap pada cinta yang tidak pasti. Jangan letak harapan yang tinggi!.”

Aku tahu, ikut sekuat atau seikhlas mana pun aku nasihat sahabatku waktu itu, aku tahu sukar untuk dia terima. Sebab aku hanya mampu nasihat sebagai seorang sahabat, selebihnya terpulang. Aku tahu hebatnya penangan cinta. Aku juga pernah ada pengalaman.

Benarlah kata seorang alim, Abu Abdullah Al-Qusyairi;

“Hakikat cinta ialah jika kamu memberi, maka kamu akan memberikan semua yang kamu miliki kepada orang yang kamu cintai, tanpa tersisa sedikit pun kepada kamu.”

Dulu sahabatku itu sering mendoakan muslimah itu (siap sebut nama. Spesifik sikit kan?). Tetapi benarlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik. Memang sahabatku mengimpikan muslimah itu berada di sisinya, tapi ternyata suratan Tuhan mentakdirkan sebaliknya.

Dia redha. Dia ikhlas. Dia sabar.

Biarlah perkenalan mereka sebatas seorang sahabat sejati walau ia tidak dijodohkan bersama.

Sahabatku,

Cinta, jodoh dan takdir tidak pernah tersalah alamat. Allah tahu saat dan masa yang terbaik untukmu. Terkadang Allah datangkan hujan, kerana Allah ingin anugerahkan pelangi buat mengindahkan pandanganmu.

Jodoh?.

Telah Allah tetapkan sejak di alam rahim lagi. Sabar dan berdoalah. Sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di mata DIA. Agar Allah kurniakan jodoh yang terbaik buat kita.

Mari hadirkan penghayatan akan kalam Allah ini;

“Dan segala sesuatu, Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.” (Adz-Dzariyat:49)

Pada aturan Allah, pasti ada yang terbaik buatmu. Lupakanlah muslimah itu. Doakan saja dia.
 
Teruskanlah perjuanganmu walau hati dan perasaan kadang terganggu. Kerana, syaitan tidak pernah penat membisikkan perkara keji semata-mata ingin menghilangkan fokusmu, mengganggu khusyukmu.

Moga cinta Allah sentiasa bersamamu. Moga dikuatkan hati!.

Rabu, 2 Ogos 2017

::Jarak Cinta Ini::


Entah mengapa inilah waktu yang aku nantikan.
Waktu agar Tuhan memberi aku ruang untuk aku contengkan sesuatu dalam blog aku ini. Aku memang jenis suka update status di laman Facebookku. Hampir setiap hari aku update dengan harapan ada manfaat buat teman-teman aku di luar sana. Moga Allah sentuh hati mereka dengan coretanku di Facebook sana.
Blog?.
Laman yang sudah jarang orang guna. Semakin dilupakan sejak si Mark Zuckerberg ni buat Facebook. Siap ada kawan aku tak main langsung Facebook sebab dia kata Facebook ni orang Yahudi buat. Memang anti-betul dia.
Tapi, pandangan aku lain pula. Aku lebih suka ambil manfaat ini untuk aku berdakwah. Itu ruangnya memandangkan hampir seluruh Malaysia dan seluruh dunia main FB, why not kita ambil ruang itu untuk dakwah kan?. Ada sahamnya jugak.
Adoiii, bukan ini yang ingin aku persembahkan sebenarnya. Kan dah lari fokus tu!. Aku memang begini. Sekali dah mula menulis, kadang-kadang lupa pulak apa hadaf (baca:objektif) utama. Inilah aku. Sekadar insan yang menagih cinta Tuhan.
Yang nak aku kongsi sebenarnya tentang jarak.
Jarak cinta kita dengan Tuhan.
Kalau bincang pasal cinta kita dengan manusia, itu sudah terlalu biasa. Sebut saja atas muka bumi ni, siapa je yang tak pernah jatuh hati atau bercinta?. Mesti pernah sebab itulah jiwa manusia biasa. Sering diuji.
Aku ingat dulu, ketika aku Tahun 1, pernah diuji juga dengan cinta. Sekarang ramai kawan-kawan aku seolah menyanjungi aku, melihat aku hebat, budak tarbiyah, ada sesetengah panggil aku ustaz. Aku terima saja lah. Tapi, mereka tak tahu, sebelum aku jadi seperti sekarang, aku dulu pun ada ujian jahiliyah juga. Walaupun pada anggapan orang, itu biasa, tapi bagi seorang daie yang bercinta, itu adalah “dosa besar” bagi aku.
Pernah dulu, aku menaruh harapan seorang akhowat usrah(moga dia tsabat dengan tarbiyah hingga kini). Perkenalan yang hampir setahun dan banyak menguji aku. Akibat bila terlalu ambil berat, banyak urusan bersama, maka ujian itu bertalu-talu lah sampai. Sebab itu aku sekarang, banyak mengurangkan urusan aku dengan mana-mana wanita, takut ujian yang sama datang kembali.
Aku tidaklah seperti orang lain yang taksub dengan cinta. Aku tak pernah dating pun. Cuma kadang bertanya khabar dan cerita tentang hidup melalui henfon. Dia pun budak usrah juga tika itu. Kalau bahasa orang sekarang, kapel islamik lah kot eh?. Astaghfirullah.
Tapi, cukuplah semua itu selama setahun. Tipulah kalau aku cakap aku boleh lupa semua itu sebab itulah kali pertama dan kali terakhir aku ada perasaan istimewa pada seorang yang bergelar wanita. Selepas itu hingga sekarang, tak pernah aku jatuh hati pada mana-mana wanita. Kalau ada urusan dengan akhowat, cukup itu atas dasar kerja. Tak lebih. Itu pun aku dah banyak tapis.
Alhamdulillah. Paling kurang aku kena bersyukur Allah uji aku dengan itu sebab dengan pengalaman itu jugalah aku gunakan untuk aku merawat anak usrah aku yang ada masalah ’couple’. Bila mereka dengar kisah cinta aku dulu, mereka rasa nak jadi macam aku. Cepat-cepat mereka putus dengan couple mereka. Hehe(senyum keji). Alhamdulillah!.
Aku merasai, betapa penangan cinta aku dahulu, banyak merosakkan komitmen aku kepada dakwah. Banyak memalsukan amal aku. Nampak hebat di luar, tapi hati, ada cinta manusia yang lain.
Ini lah cerita tentang diri aku yang sering aku ceritakan kepada anak usrah aku bila aku cerita tentang Mahabbatullah. Mencintai Allah.
Dalam bab cinta, kita kena fikir tentang jarak.
Cuba kita ukur, antara cinta kita kepada manusia, harta dan dunia seisinya serta cinta kita kepada Allah. Sejauh mana?. Mana lagi dekat jaraknya dengan hati kita?.
Aku yakin, cinta kita kepada manusia, harta dan dunia itu lebih dekat berbanding cinta Allah. Cinta Allah ni seolah di pinggiran saja. Macam tak ada fungsi sangat dengan hidup kita. Astaghfirullah. Mohon ampunlah pada Allah.
Kalaulah ada parameter atau apa jua alat untuk mengukur jarak ini, pasti kita akan tertunduk malu pada Allah. Sebab apa?. Sebab punya lah banyak nikmat yang Allah bagi, tak terkira punya banyak, tapi bila cek hati kita, rupanya cinta Allah itu jauhhhhh!. Seolah tidak kelihatan kadang-kadang tu.
Koreksi balik diri!.
Tanya balik diri!
Cinta hakiki ini untuk siapa?.
Cintanya orang beriman
Di pintu manakah cinta kita kepada Allah.
Di pintu kemunafikan atau pintu keimanan?.
Cinta orang munafik ini penuh kepuraan. Aku melihat ramai orang cintanya di sini. Nampak luaran seolah cintakan Allah, tapi bila bersendirian, rupanya lebih suka untuk tidak taat. Suka jauh dari Allah. Tak suka dikongkong dengan Islam. Cinta mereka kepada dunia sama macam mereka cinta Allah. 50:50. Astaghfirullah.
“ Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah,mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah…..”(Al-Baqarah:165)
Tetapi, cinta orang beriman juga hebat!
Cinta hakiki. Tidak ada dusta. Tidak ada pura-pura. Cinta sepenuh hati. Cintanya dilandasi iman. Cintanya menjadi usahanya ke syurga. Dalam hatinya, hanya Allah yang didambakan. Cinta yang murni. Luhur!.
“…Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah….” (Al-Baqarah:165)
Kamu tahu cinta orang beriman ini sampai satu tahap, bila disebut nama Allah, gementar hati dia. Bila dibacakan padanya kalam-kalam Allah, bertambah imannya!.
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka..” (Al-Anfal:2)
Cuba kita duduk sejenak, muhasabah diri. Muhasabah cinta. Eh, macam tajuk nasyid pula.
Dalam cinta kita kepada Allah itu, wujud tak ciri-ciri ini?;
1. Selalu teringat-ingat kepada Allah
2. MengagumiNYA
3. Redha atas segala ketentuannya
4. Siap berkorban untuk Allah
5. Takut kepada Allah. Khauf
6. Berharap sentiasa padaNYA
7. Taat dengan ketaatan yang benar padaNYA
Aku teringat pesan Ibnul Qayyim tentang cinta ini;
“ Cinta sejati adalah bilamana seluruh dirimu akan kau serahkan untukmu Kekasih (Allah), hingga tidak tersisa sama sekali untukmu (lantaran seluruhnya sudah engkau berikan kepada Allah) dan hendaklah engkau cemburu (ghirah), bila ada orang yang mencintai Kekasihmu melebihi Cintamu kepada-Nya…”
Ukurlah jarak kamu dengan Allah dari buah kepada cinta iaitu bentuk-bentuk ketaatan yang kamu buat.
Kamu jaga mutabaah amal, kamu  turun ke medan dakwah menyedarkan manusia dengan matlamat hidupnya, kamu mentarbiyah adik-adik usrah, tiap malam turun untuk syuro, kamu pergi menuntut ilmu akhirat, kamu bersedekah dan amal-amal soleh yang lain.
Itulah bukti cinta yang sebenar!.
Jika semua amal soleh ini mudah kamu buat dan anggota badan kamu tidak merasa berat ketahuilah, jarak cintamu pada Allah, telah pun dekat!.

p/s: Bila dah start menulis, memang panjang. Selamat membaca. Rasa nyaman pula bandar Kuantan ni. Usai lepas hujan. 
.
@muslimdaie_PB