Haazihi Sabiili

Rabu, 23 Oktober 2013

:: Ku Rungkai Sebuah Memori ::



Indah bukan memori silam?. Kalau direnung kembali, pasti ada bibit-bibit dan saat mencuit jiwa. Itulah nikmat yang masih Allah berikan pada aku. Nikmat fikiran yang masih bisa menerawang menjelajah memori dahulu kala. Indahnya saat itu!...

Ada yang bertanya padaku, bagaimana aku boleh berkecimpung dengan dunia tarbiyah dan dakwah ini. Bermula dari bila?. Di mana?. Dengan siapa?. Sudah berapa lama. Ahhh!. Dan bermacam-macam lagi soalan yang ditanya. Soalan dari teman yang ingin tahu. Matlamatnya adalah ingin mendengar pengalamanku. Dan inilah tujuan aku menulis pada saat ini!. Ingin menukil kisah dan coretan pengalaman bertemu kemanisan dalam berjuang…

Aku ingat lagi dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, aku bersekolah di sebuah sekolah agama yang satu-satunya terletak di bandar Kuantan dan berdekatan dengan pantai. Terkadang terdengar deruan ombak memukul dan tiupan angin meluncur laju lalu terhasil bunyi seperti siulan dicelahan tingkap. Yang paling tak dapat dilupakan ialah bau ikan yang sangat kuat di tingkat 5. Al-maklumlah, bersebelahan dengan pantai dan bersebelahan juga dengan kedai jual ikan dan tempat memindahkan ikan dari kapal ke kedai menjual itu. Baunya, Allahu Rabbi!. Hanyir yang menyengat hidung!...

Setelah habis pengajianku di sekolah agama yang aku rindui itu, aku ditakdirkan untuk menyambung pelajaran di sebuah sekolah tinggi agama yang berada di daerah Pekan, Pahang. Bersebelahan saja dengan istana Taman Polo. Di mana, di sana aku belajar mata pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia( baca: STAM). Di situlah pengalaman pertama aku menginap di asrama. Masa sekolah menengah, aku ulang- alik saja dari rumah ke sekolah. Setiap hari!. Namun, aku tidak lama di sekolah STAM itu dek kerana di pertengahan tahun, aku mendapat tawaran ke matrikulasi Pahang. Seronok tak terkata!...

Kehidupan di matrikulasi berjalan seperti biasa. Seronok!. Dekat dengan rumah. Walaupun rumah dekat, tapi aku bukanlah seorang yang sakit rumah( baca: homesick). Aku tidak punya masalah walau berjauhan dengan keluarga tercinta. Namun itu tidak bererti aku tidak mencintai mereka tapi itulah hakikat seorang manusia yang ada sesetengah darinya akan berjauhan dari keluarga. Berkelana mencari erti hidup. Setahun di matrikulasi mengajar aku banyak perkara. Ada pengalaman-pengalaman indah yang sempat terukir. Benar-benar indah!...

Bermula saat bertemu titik pemula

Semester kedua mengubah segala-galanya. 2 minggu sebelum Ujian Pertengahan Semester 2(baca:UPS 2) itu merupakan detik bermulanya anjakan matlamat hidupku. Matlamat yang dahulunya seperti orang biasa, kini sudah berubah menjadi matlamat sang Ghuraba’ Islam. Ianya bermula saat aku menerima panggilan telefon misteri dari seorang wanita yang merupakan sang murabbiyah yang umurnya dalam 50-an…

“ Assalamualaikum, ni akhi I ke?. Ni ana. Cikgu F ni (selesa dipanggil umi). Umi ada perkara yang ingin dibincang dengan akhi. Perkara yang amat mustahak!. Masa depan jemaah! “

Erk!. Aku punyalah terkejut tahap yang tak tahu nak cakap apa. Mana tidaknya!. Tiba-tiba saja keluar perkataan jemaah dalam keadaan aku masih lagi jahil. Jemaah mana pun aku tak tahu. Jantung berdegup kencang. Dada berombak. Suara sepertinya putus-putus. Bermacam perkara bermain di fikiran sama ada nak tutup saja telefon atau teruskan perbualan. Lalu, aku memilih untuk teruskan perbualan. Moga ada manfaat di sebalik perbualan tersebut…

“ Emmmm..Errrr..Ohhh, umi..Maaf, saya tak kenal umi..Boleh saya tahu dari mana umi dapat no saya?..”

“ Ok..Umi dapat nombor tel akhi dengan akhi M( sahabatku dari zaman sekolah)..Dia sekarang belajar di sebuah institusi pengajian di Johor “ jawab umi dengan selamba tidak berdebar

“ Ada apa-apa yang boleh saya bantu?..Kenapa umi call saya? “ tanya aku kehairanan

Lalu jawab umi dengan tenang. Bermula cerita yang agak panjang…

“ Macam ini akhi..Umi dari JXX( sebuah jabatan dalam jamaah tersebut)..Umi dapat maklumat yang di matrik tempat akhi belajar tu, ada jamaah dalam jemaah..Kumpulan ini bahaya!..Segala program yang dianjurkan oleh senior-senior tidak dimaklumkan kepada pimpinan jamaah induk..Semua program dibuat mengikut kepala dan hawa nafsu sendiri..Atau kata yang lebih jelasnya, tidak mengikut manhaj!..Jadi umi nak minta akhi untuk bentukkan satu kumpulan baru yang lebih mengikut manhaj jamaah..Program-program susulan, akan kita susun kemudian..Apa-apa masalah, beritahu umi..Kita bincang dalam phone..Nanti update apa perkembangan kumpulan akhi tu “...

Allah!. Kali ini memang rasa nak jatuh menyembah bumi. Mana tidaknya!, tiba-tiba terasa amanah yang begitu berat ditimpakan atas kepala bahu!. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya, dan menghembuskannya dalam keadaan yang santai. Aku dikehendaki bentuk kumpulan baru. Jamaah baru!. Dalam hati aku, “ini betul-betul kerja gila!. Nanti tahu dek ustaz G, mati aku!. Dah la lagi 2 minggu nak UPS. Ini memang risiko gila-gila ni. Aduyaiii!  “…

Entah kenapa aku tidak menolak saja permintaan umi itu. Aku menerima amanah itu dengan hati yang terbuka walaupun pada awalnya sedikit tidak ikhlas. Aku anggap, itulah ketetapan Allah. Itulah yang Allah aturkan untukku dan aku harus redha dengan ketetapan itu kerana ia menguntungkan Islam juga diakhirnya. Aku teruskan projek membentuk jamaah baru di  matrikulasi itu. Terasa sukar tapi dengan izin Allah, segala-galanya menjadi mudah. Benarlah kata orang awal dalam dakwah, “nak buat kerja perjuangan ni, kena ikhlaskan niat”…

Dalam masa 2 minggu itu juga, aku mencari dan mengajak sahabat-sahabat yang boleh di ajak untuk membentuk kumpulan ini bersama aku. Aku tidak ingin berseorangan kerana kambing yang berjalan sendirian akan mudah dimakan oleh serigala yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menerkam mangsanya. Dalam tidak disangka-sangka, aku dapat mengumpulkan lebih kurang 7 orang dalam masa itu. Lalu, aku membuat pertemuan pertama dengan mereka. Pertemuan yang matlamat dan agenda utamanya adalah menjelaskan apa dibuat ini…

Aku menjelaskan kesemuanya pada mereka tentang keadaan yang dicerita oleh umi pada awalnya. Dengan izin Allah lagi, mereka dengan mudahnya menerima sahutan ini. Antara tips aku menggabungkan mereka adalah dengan menyatukan mereka dari sudut pemikiran mereka. Kesemua 7 orang ini minat akan isu politik. Setelah aku ceritakan bahawa aku dan mereka perlu membuat satu kumpulan baru di bawah JXX, lalu mereka bersetuju tanpa banyak tanya…

Lalu aku memulakan pertemuan susulan di tempat yang berbeza. Aku menjelaskan dan memberikan kefahaman kepada mereka soal kerahsiaan dan kewaspadaan, menjelaskan tentang organisasi kumpulan, juga tentang taat setia kepada perjuangan. Aku juga membawa mereka keluar untuk ber’latihan’ sama-sama. Taat setia untuk bersama dalam perjuangan. Uniknya, mereka tidak terkejut akan projek aku ini. Mereka ibaratnya sami'na wa atho'na. kami dengar dan kami taat…

Masa makan masa, pergerakan kumpulan aku ini diketahui oleh kumpulan yang asal yang dikatakan tidak mengikut manhaj itu. Maka berlaku sedikit ketidak puashatian antara kumpulan aku dan mereka. Tapi, tidaklah sampai bergaduh, cuma terkadang bermasam muka sahaja. Ukhuwwah sesama muslim masih terjaga. Alhamdulillah...

Diringkaskan cerita, kumpulan aku dan kumpulan asal itu yang mana amir mereka ketika itu ialah akhi H, dipertemukan oleh pimpinan. Kami dikehendaki untuk buat suatu mesyuarat tergempar, untuk membuat pencerahan apa sebenarnya yang berlaku. Kumpulan asal itu ada muslimin dan muslimat manakala kumpulan aku hanya ada muslimin 7 orang yang baru nak bertapak. Lalu, muslimin antara kumpulan aku dan akhi H ini membuat pertemuan tertutup dalam bilik pejabat surau 'orang-orang yang bertaqwa'...

Pencerahan dimulai oleh akhi H yang memulakan pencerahannya dengan menerangkan semua kronologi perjalanan kumpulan mereka yang ketika itu yang dipercayai diberi nama Aku Muslim (baca: AM). Aku mendengar dengan teliti. Alhamdulillah, selesai dan jelas!. Aku pun menerangkan sedikit sebanyak pergerakan kumpulan aku yang masih baru ini atas arahan pimpinan induk. Setelah pencerahan, baru aku tahu yang semua ini berlaku hanya kerana sebuah salah faham. Kumpulan akhi H itu rupa-rupanya senior abang2 dan kakak2 yang susun program tanpa dimaklumkan kepada pimpinan induk ketika itu. Dan kumpulan akhi H muslimin dan muslimat itu pun tidak tahu yang mereka dikawal oleh senior. Ingatkan betul-betul bawah pimpinan induk tetapi sebaliknya. Memang sebelum ini, aku sangat anti dengan sahabat-sahabat di matrikulasi lain yang namanya disyaki dari kumpulan AM ni. Kerana menurut pimpinan kumpulan ini merbahaya cara mereka mendidik adik-adik. Ohh, rupanya kumpulan ini dah besar jaringan di matrikulasi yang lain…

Sejak dari itu selepas pencerahan, kumpulan kami bergabung!. Membentuk satu tenaga baru dan memulakan hidup baru dengan niat perjuangan yang satu. Antara perkataan yang aku pegang dari dulu sampai sekarang ialah, “Wehdatul Fikr, Wehdatul Amal”. Perkataan itu juga aku peroleh dari satu program yang dianjurkan oleh pimpinan. Aku meneruskan perjuangan bersama keluarga besar sehingga kami diikat janji setia untuk bersama memperjuangkan agamaNya…

Mula memilih haluan sendiri

Aku meneruskan perjuangan bersama kumpulan besarku itu sehinggalah tahun satu semester pertama di sebuah universiti di Bumi Penyu. Sehingga tiba saatku untuk memilih di akhir semester 1, kapal manakah yang ingin aku berintima’(bergabung) dan fokus. Lalu, setelah istikharah dan melalui beberapa pembacaan dari tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin, lalu aku memilih untuk keluar dari kumpulan aku yang dahulunya aku bersama dan kini bersama kumpulan yang baru yang aku yakini manhajnya yang menghampiri cara yang Al-Banna inginkan dalam proses kebangkitan ummah bermula dengan asasnya…

Alhamdulillah. Kini aku yakin dengan jalan ini. Dalam kumpulan dan kapal yang berbeza dari dahulu. Tentangan masih ada namun aku kuatkan diri menempuhi semua ranjau itu. Inilah jalanku!..Walaupun dalam proses aku ingin bertukar kapal, aku dihentam dan dipsiko oleh abang-abang dalam kumpulan yang lama aku sertai itu yang mempersoalkan tentang manhaj kumpulan aku sertai sekarang. Bila aku tanya kepada mereka semula, mereka diam seribu bahasa. Sabar juga aku dengan mereka namun kini aku berlapang dada dan merindui mereka tika berprogram bersama di sebuah tempat di Batu Tiga Terengganu…

Aku menelefon kembali umi, dan menyatakan, “Umi, saya ingin memilih haluan sendiri kerana saya kurang selesa dengan sistem yang saya berada dulu..Maaf..Terima kasih atas bantuan selama ini”…

Ku ingati ukhuwah itu

Siapa kata memori ukhuwah mudah terpadam?. Itu dusta!, kerana ukhuwah fillah itu sukar untuk dilupakan. Sungguh aku merindui sahabat jamaah aku yang lama. Ingat lagi kami satu famili besar bersama-sama ke sebuah tempat yang bernama Congkak dan di situ terdapat sungai. Ingat lagi kami banyak berprogram bersama, hendap masuk matrikulasi bersama, ber BBQ bersama di belakang surau, kami membincangkan tugasan sama-sama dan menerangkan pada pelapis kami apa yang mereka perlu lakukan selepas kami keluar dan membincangkan masalah sama-sama. Memang ukhuwwah sungguh lah!…

Sungguh itu ukhuwah yang tidak dapat dilupakan. Aku merindui mereka. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat menerima keputusan aku keluar dari kumpulan mereka. Namun, aku tersangat yakin masih terdapat sebilangan dari mereka yang masih dapat menerimaku sebagai sahabat. Walaupun kini kapal dan cara perjuangan kami sudah mula berbeza…

Dan…

Syukran katsiran kepada umi F yang dikasihi keranaNya yang kini berada di sebuah institusi pengajian di Melaka yang dahulunya mempertemukan aku dengan jalan perjuangan ini. Dia antara murabbiyah yang terbaik yang pernah aku kenali dalam sirah perjuanganku ini.. Syukran!


:: Walau cara kita berbeza, walau kumpulan kita berbeza, walau manhaj kita berbeza tapi yang pasti adalah destinasi kita adalah sama!. Iaitu Mardhatillah dan syurgaNya ::

1 ulasan:

Insan Sepi berkata...

Allahu akbar