Haazihi Sabiili

Ahad, 27 Oktober 2013

:: Kenapa jahiliyah masih bersarang?...T_T ::

-Jangan jadi manusia yang jahil-

“ Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. [2:152]

Nilainya seorang hamba bermula di pagi hari. Bagaimana dia berpagi-pagian. Berpaginya seorang muslim sejati dengan tunduk dan sujud dengan penuh nilai kehambaan di hadapan Rabbnya. Tiada nilai erti cinta tanpa menterjemahkannya dalam amal pengibadatan kita. Paling kurang, ringankanlah tanganmu untuk mengangkat buku kecil bernama Al-Mathurat (atau kini dah ada versi Android..;-)

Sebagai hambanya, nilai sebuah muhasabah itu amat tinggi. Kita sang hamba ini sering kali melakukan dosa tanpa sedar, mungkin juga ada yang sedar. Muhasabah itu adalah sebaik-baik renungan buat diri yang sering lalai dan alpa dari sebuah ketaatan yang mutlak padaNya. Adakah layak kita akan cintanya seandainya dosa dirasai biasa?. We need reflect ourselves.

Tapaki bumi dengan iman

            “…..Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni'mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu…..[5:3]

Ayat ini antara ayat yang telah memukul jiwa para sahabat dengan kuat sekali. Lalu, akibat pukulan itu maka berguguranlah linangan air mata sang sahabat Rasulullah yang sangat mencintai baginda. Turunnya ayat ini memberi petanda yang tidak diinginkan oleh para sahabat. Petanda bahawa sang kekasih Allah bakal meninggalkan mereka. Tidak tertahan rasanya!.

Itulah jiwa para sahabat yang lembut walau ada sesetengahnya berperibadi begitu tegas dan keras. Mana tidaknya, seorang murabbi agung mereka bakal meninggalkan mereka dan bakal bertemu Penciptanya. Para sahabat tahu setiap manusia akan mati namun tetapi mereka masih dahagakan kasih sayang dan tarbiyah dari Rasulullah membuatkan seolah-olah mereka tidak bisa menerima hakikat itu. Hebat!.

Tarbiyah Rasulullah yang dahulunya telah berjaya membina jiwa-jiwa yang benar-benar basah dengan iman. Kepatuhan dan ketaatan mereka kepada Allah tidak lagi diragui kerana Rasulullah berjaya meyakinkan mereka dengan jalan perjuangan yang satu ini. Membuatkan mereka ingin hidup dan mati dengan dakwah ini.

Mari muhasabah bagaimana kita?. Rasulullah dan sahabat berjalan dan bertebaran atas muka bumi ini menggenggam risalah Ilahi. Risalah yang mereka akan sebarkan. Mereka menapaki bumi ini dengan penuh keimanan. Bukan sekadar mereka mengungkapkan kalimah iman tapi mereka juga membenarkan fikrah ini. 

Membuktikannya dengan amal. Kita gimana(mood: indon)???

Beriman dengan jahiliyah lagi?

Saya rasa pasti ada yang tertanya-tanya akan tajuk ini,

“ Beriman dengan jahiliyah ..Huh, macam mana tu yer?..Setahu saya rukun iman ada 6 saja..Dalam 6 tu pun, mana ada beriman kepada jahiliyah! “

Iman itu kan didefinisikan secara ringkasnya:-

1)         Membenarkan dengan hati
2)         Berikrar dengan lisan
3)         Beramal dengan anggota

Kita ini akan jadi seorang yang beriman dengan jahiliyah apabila kita menerima jahiliyah ini sebagai pegangan yang benar walaupun kita tahu  ia datang dari musuh-musuh Allah itu sendiri. Jika kita mengungkapkan bahawa jahiliyah ini bagus untuk diikuti kerana sesuai dengan waqi’(keadaan semasa) sekarang, maka kita telah pun mengikrarkannya. Apatah lagi kalau kita beramal dengannya!. Bab beramal ini, banyak yang dah melaksanakannya tanpa perlu diajar pun.

Antara tiga definisi ringkas itu, kita mungkin boleh berdalih dalam bab membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lisan tetapi tidak ramai yang boleh berdalih dalam bahagian beramal dengan anggota. Mana tidaknya, sudah begitu corak kehidupannya. Antara hadaf (objektif) utama musuh Allah ini ialah memisahkan umat Islam dari gaya hidup Islam. Dan mereka telah berjaya.

            “ Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. 

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin? (5:49-50)

Mereka” kini berjaya!!!



Sejarah kejatuhan Abbasiyah menunjukkan masyarakat ketika itu mula goyah prinsipnya. Mula lupa akan matlamat hidup mereka. Keagungan ilmu yang melampau semata-mata membuatkan mereka telah dikalahkan oleh tentera yang ‘bodoh’ dari ilmu. Tentera Monggol dan juga peristiwa Perang Salib. Masyarakat ketika itu mula tipis hammasahnya. Mula kendur semangat keinginan jihadnya. Mula culas melaksanakan kerja-kerja dakwah secara berfokus. Kini fokus mereka adalah berdebat mengenai ilmu yang baru lalu mengakibatkan kejatuhan khilafah yang tidak diinginkan.

Jatuhnya khilafah bukan bererti musuh Allah ini juga jatuh tapi sebaliknya!. Mungkin kita pun tidak menyedarinya. Musuh Islam ini bangkit dengan penuh bergayanya. Tidak dengan senjata tetapi dengan segala bentuk serangan pemikiran yang boleh menjauhkan manusia dari matlamat asal mereka diciptakan. ‘Abid dan Khalifah.

Musuh Allah ini telah berjaya meracuni umat Islam hingga sekarang!

“ Uish, betul ke ni bang?..Tak kan sampai sekarang orang kafir serang kita kot..Biaq betoi?..Saya tak tau pun!..T_T “

Inilah Sejarah Kita!(boleh buat satu pengisian hujung minggu ni..hehe)

Singkirkan jahiliyah serta karatnya itu

Orang kafir ni dia tidak beritahu kita yang dia nak serang pemikiran kita!. Kalau dia beritahu, saya rasa sudah lama kita akan berdemonstrasi besar-besaran..Mungkin lebih besar dari BERSIH 3.0. Serangannya cukup halus lagi rapi strateginya. Mereka juga ada yang mengkaji Al-Quran tapi kajian mereka itu hanyalah untuk menghancurkan umat Islam. Mereka cari point-point dalam Al-Quran, apa yang Allah suruh orang Islam dan mukmin buat lalu selepas itu mereka memikirkan cara nak jauhkan umat Islam agar tidak melaksanakan point itu. Hanya dengan memanipulasi nafsu seorang manusia.

Song, Sex,Smoke, Sport,Screen. Semua ini agendanya. Fenomena sekarang, ramai yang lalai dengan apa yang disajikan. Kalau ‘movie’nya, Running Man dan seangkatan dengannya. Sukan yang kini menjadi kegilaan orang sehingga ada sesetengah dari mereka sanggup tinggalkan solat semata-mata kerana bola. Diperbodohkan oleh sebiji bola. Apatah lagi lagu-lagu yang gempak yang menaikkan bulu roma pendengarnya. FaceBook juga kini menjadi kegilaan semua peringkat umur. Boleh tahan juga si Mark Zuckerberg ni.

 Bila diperhatikan, segala apa perkara yang datang dari Barat, semua dekat dengan nafsu kita. Mereka tahu tarikan nafsu saja yang boleh melalaikan umat Islam ini dari fokus sebenar. Mereka berjaya membuatkan umat Islam hidup atas landasan nafsu!

Sedarlah!, orang kafir kini sedang mencatur kita!

Ikhwah fillah, jauhilah dari jahiliyah itu. Usah biar ianya bersarang dalam hatimu. Kita harus fokus dengan kerja ini. Kita harus mencari segala anasir taghyir(agen pengubah) untuk ditarbiyah mereka bagi mengembangkan populasi orang yang berjuang. Tidak mesti tidak, perlu buat!.



Jika kita hidup dengan aturan jahiliyah, sedarilah bahawa kita sedang jauh dari aturanNya. Kita akan mula menjauh dari tarbiyah dan dakwah ini. Berjuanglah kalian bagi meraih chenta dan redhoNya!.......

-muslimdaie90_SA-

Jumaat, 25 Oktober 2013

:: Kenapa lupa kerja asas ini?! ::

-Menulis keranaNya-


Mencuri masa untuk menulis!. Itu biasa bagi seorang penulis blog yang ingin menulis dalam keadaan banyak lagi kerja nak buat. Alhamdulillah, masih lagi diberi keizinan olehnya untuk menulis dengan berbekalkan segelas air masak dan kek red velvet(first time makan) yang harganya RM5.50…

Kadangkala bila nak mula menulis, mesti ‘blank’. Tak tahu nak mula macam mana. Lepas istighfar dan tenangkan minda dan jiwa, barulah idea tu datang semula. Inilah manusia. Mudah sangat alpa sesaat…

Sekarang buka saja MukaBuku, maka banyaklah status-status yang Islamik. Bukan sekadar Islamik, tapi status-status yang berunsur dakwah yang menggugah jiwa. Bila baca, rasa semangat!. Seperti semangat lama yang tidur, bangkit semula!. Hebatnya kuasa penulisan. Tapi kena Lillahi Taala lah bila menulis tu…

Mungkin dek kerana semakin banyak status-status Islamik ini membuatkan manusia biasa sudah tidak pelik dengan ‘term-term’ yang digunakan. Usrah, dakwah, tarbiyah dan bermacam-macam lagi. Bahkan, status-status ini membuka ruang hidayah kepada seseorang untuk berubah…

Jangan lupa menulis dan mencetak manusia

-Manusia perlu dicetak seramai mungkin-
“ Cita-citaku bukan mencetak buku tapi mencetak manusia…(Hassan al-Banna) “

Subhanallah!, inilah yang diinginkan Al-Banna. Iaitu mencetak manusia-manusia yang akan bergerak untuk dakwah ini. Bukannya Al-Banna mengharamkan para Ikhwan untuk menulis, tapi hebatnya Al-Banna ini kerana beliau melihat jauh ke hadapan. Dakwah ini tidak akan bangkit dengan lahirnya banyak-banyak penulis yang kerja sehariannya hanya menulis tapi dakwah ini akan bangkit dengan lahirkan penggerak yang ingin menggerakkannya…

Dannn, itulah kerja besar lagi utama KITA!. Menyumbangkan seberapa banyak rijal yang bergerak untuk ummah ini. Kita menulis mereka dalam tarbiyah kita…

Apa yang Al-Banna impikan ini persis apa yang Rasulullah buat tika di awal dakwah dulu. Rasulullah mencetak para sahabat Baginda supaya suatu hari nanti, boleh bermanfaat untuk Islam. Zaman Mekah jelas menunjukkan Rasulullah begitu berfokus memberi bekalan keimanan kepada sahabat Radhiallahu anhum…

Hasil dari fokus ini telah melahirkan beberapa sahabat yang hebat. Lihatlah buktinya Mus’ab bin Umair. Rasulullah hanya menghantar Mus’ab untuk membuka Madinah di saat Mekah ketika itu ditekan dengan hebat sekali. Mus’ab membawa pulang lebih kurang 72 orang untuk berbai’ah janji setia dengan Rasulullah. Hebat bukan Mus’ab?. Itulah rijal yang sebenar!...

Kalau ada yang bertanya, “ Eh, hebatnya Mus’ab bin Umair nih!. Siapa ek murabbi dia? “. Jawablah dengan tenang lagi sabar, “ Siapa lagi kalau bukan Rasulullah!. Kan Rasulullah mentakwin(membentuk) Mus’ab di Mekah " Itulah penangan sentuhan seorang Rasul. Produknya mantap!...

Mengubah manusia menuju Allah bermula dengan tarbiyah. Tarbiyah ini perlu kerana manusia perlukan satu proses untuk mengubah mereka dari kebiasaan mereka. Sebagai contoh jika sebelum ini seseorang itu minat bermain video game, tengok movie, merokok, free-hair dan jahiliyah yang lain, maka tarbiyah adalah solusinya!...

Hasil dari tarbiyah inilah akan melahirkan manusia yang kini hidupnya berorientasikan Allah

Kerja asasi KITA

Bisnes?. Masuk ofis jam 8 pagi?. Punch card jam 9 pagi kalau pelajar master?. Kena jual produk?. Kena pergi audit ke syarikat dan universiti tempatan?...

Ini mungkin kerja sehari-harian kita. Tapi sedarkah kamu akan kerja yang sepatutnya menjadi kerja asasi kita semua?...

Ya!, membina manusia!. Kamu perlu mencari individu yang berpotensi untuk ditarbiyah. Kita kian lupa dengan amanah ini. Kita mungkin saja beralasan dengan bermacam-macam alasan, hanya semata-mata tidak mahu laksanakan amanah ini. Alangkah ruginya!. Janganlah jadi seperti bani Israel yang degil walaupun mereka telah menyaksikan kebenaran ini…

Cari manusia yang kita mampu untuk didik mereka. Di IPT adalah tempat yang terbaik untuk mendidik manusia. Di sana fokus mereka hanya belajar dan kurang cabaran dari luar. Manfaatkan waktu itu. Jangan kita hanya bergoyang kaki sambil membelek-belek buku pelajaran tanpa memikirkan tugas asasi kita. Seandainya kita terlalu fokus kepada pelajaran hingga terlupa tanggungjawab membina manusia ini, nantikanlah saat kebantutan dakwah Islam di tempat kita itu…

Mari benarkan janji kita kepada Allah untuk tegakkan Deen ini. Sama ada kita berjaya atau tidak…

            “ Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya)…(33:23)

Lahirkan rijal itu

Ada satu kisah tentang Sayidina Umar Al-Khattab dan para sahabat berkaitan dengan pemuda ini…

Ketika mana Saidina Umar ra duduk bersama sahabat-sahabatnya, beliau bertanya akan impian sahabatnya itu.

Seorang daripada mereka mengimpikan agar negeri itu dipenuhi dengan emas dan akan digunakannya ke jalan Allah. Maka ‘Umar berkata, impikanlah.

Salah seorang  yang lain pula mengimpikan agar negeri itu dipenuhi dengan permata, lantas digunakannya kejalan Allah. Maka ‘Umar berkata, impikanlah.

Sahabat-sahabatnya pula berkata bahawa tiada apa lagi yang ingin mereka katakan. Maka Umar berkata;

Aku mengimpikan PEMUDA seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Mu’adz bin Jabbal, dan Salim hamba Huzaifah, lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.

Inilah nilai seorang sahabat hasil tarbiyahnya Rasulullah. Begitu memandang maslahat dakwah itu adalah lebih utama. Berbeza antara yang faham dan tidak faham…

Kenapa perlu lahirkan rijal ni?. Kalau takdek pun, ok je kan?. Kan dah ramai ustaz-ustaz dan pelajar yang balik dari negara Anbiya’ sana tu?

Mungkin ini tanggapan manusia biasa yang tidak memahami toriq amal( jalan2 untuk beramal) ini. Tapi seharusnya seorang kader yang sudah berintima’ dengan dakwah ini seharusnya tidak harus berfikiran sebegitu. Kerana kerja melahirkan rijal ini mula menjadi kerja asasi bagi para du’at ini…

Ya!, kalau makanan asasi kita adalah nasi,ikan dan ayam. Para kader dakwah itu ada makanan asasi yang lebih penting lagi iaitu dakwah itu sendiri. Tulislah rijal ini!. Setelah menulis cetaklah ia. Cetakan yang berjaya ialah apabila cetakan itu mengesani setiap pembacanya. Moga cetakan manusia itu bermanfaat untuk dakwah ini (^_^)

            “ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar...(9:111)

-muslimdaie90-

Rabu, 23 Oktober 2013

:: Ku Rungkai Sebuah Memori ::



Indah bukan memori silam?. Kalau direnung kembali, pasti ada bibit-bibit dan saat mencuit jiwa. Itulah nikmat yang masih Allah berikan pada aku. Nikmat fikiran yang masih bisa menerawang menjelajah memori dahulu kala. Indahnya saat itu!...

Ada yang bertanya padaku, bagaimana aku boleh berkecimpung dengan dunia tarbiyah dan dakwah ini. Bermula dari bila?. Di mana?. Dengan siapa?. Sudah berapa lama. Ahhh!. Dan bermacam-macam lagi soalan yang ditanya. Soalan dari teman yang ingin tahu. Matlamatnya adalah ingin mendengar pengalamanku. Dan inilah tujuan aku menulis pada saat ini!. Ingin menukil kisah dan coretan pengalaman bertemu kemanisan dalam berjuang…

Aku ingat lagi dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, aku bersekolah di sebuah sekolah agama yang satu-satunya terletak di bandar Kuantan dan berdekatan dengan pantai. Terkadang terdengar deruan ombak memukul dan tiupan angin meluncur laju lalu terhasil bunyi seperti siulan dicelahan tingkap. Yang paling tak dapat dilupakan ialah bau ikan yang sangat kuat di tingkat 5. Al-maklumlah, bersebelahan dengan pantai dan bersebelahan juga dengan kedai jual ikan dan tempat memindahkan ikan dari kapal ke kedai menjual itu. Baunya, Allahu Rabbi!. Hanyir yang menyengat hidung!...

Setelah habis pengajianku di sekolah agama yang aku rindui itu, aku ditakdirkan untuk menyambung pelajaran di sebuah sekolah tinggi agama yang berada di daerah Pekan, Pahang. Bersebelahan saja dengan istana Taman Polo. Di mana, di sana aku belajar mata pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia( baca: STAM). Di situlah pengalaman pertama aku menginap di asrama. Masa sekolah menengah, aku ulang- alik saja dari rumah ke sekolah. Setiap hari!. Namun, aku tidak lama di sekolah STAM itu dek kerana di pertengahan tahun, aku mendapat tawaran ke matrikulasi Pahang. Seronok tak terkata!...

Kehidupan di matrikulasi berjalan seperti biasa. Seronok!. Dekat dengan rumah. Walaupun rumah dekat, tapi aku bukanlah seorang yang sakit rumah( baca: homesick). Aku tidak punya masalah walau berjauhan dengan keluarga tercinta. Namun itu tidak bererti aku tidak mencintai mereka tapi itulah hakikat seorang manusia yang ada sesetengah darinya akan berjauhan dari keluarga. Berkelana mencari erti hidup. Setahun di matrikulasi mengajar aku banyak perkara. Ada pengalaman-pengalaman indah yang sempat terukir. Benar-benar indah!...

Bermula saat bertemu titik pemula

Semester kedua mengubah segala-galanya. 2 minggu sebelum Ujian Pertengahan Semester 2(baca:UPS 2) itu merupakan detik bermulanya anjakan matlamat hidupku. Matlamat yang dahulunya seperti orang biasa, kini sudah berubah menjadi matlamat sang Ghuraba’ Islam. Ianya bermula saat aku menerima panggilan telefon misteri dari seorang wanita yang merupakan sang murabbiyah yang umurnya dalam 50-an…

“ Assalamualaikum, ni akhi I ke?. Ni ana. Cikgu F ni (selesa dipanggil umi). Umi ada perkara yang ingin dibincang dengan akhi. Perkara yang amat mustahak!. Masa depan jemaah! “

Erk!. Aku punyalah terkejut tahap yang tak tahu nak cakap apa. Mana tidaknya!. Tiba-tiba saja keluar perkataan jemaah dalam keadaan aku masih lagi jahil. Jemaah mana pun aku tak tahu. Jantung berdegup kencang. Dada berombak. Suara sepertinya putus-putus. Bermacam perkara bermain di fikiran sama ada nak tutup saja telefon atau teruskan perbualan. Lalu, aku memilih untuk teruskan perbualan. Moga ada manfaat di sebalik perbualan tersebut…

“ Emmmm..Errrr..Ohhh, umi..Maaf, saya tak kenal umi..Boleh saya tahu dari mana umi dapat no saya?..”

“ Ok..Umi dapat nombor tel akhi dengan akhi M( sahabatku dari zaman sekolah)..Dia sekarang belajar di sebuah institusi pengajian di Johor “ jawab umi dengan selamba tidak berdebar

“ Ada apa-apa yang boleh saya bantu?..Kenapa umi call saya? “ tanya aku kehairanan

Lalu jawab umi dengan tenang. Bermula cerita yang agak panjang…

“ Macam ini akhi..Umi dari JXX( sebuah jabatan dalam jamaah tersebut)..Umi dapat maklumat yang di matrik tempat akhi belajar tu, ada jamaah dalam jemaah..Kumpulan ini bahaya!..Segala program yang dianjurkan oleh senior-senior tidak dimaklumkan kepada pimpinan jamaah induk..Semua program dibuat mengikut kepala dan hawa nafsu sendiri..Atau kata yang lebih jelasnya, tidak mengikut manhaj!..Jadi umi nak minta akhi untuk bentukkan satu kumpulan baru yang lebih mengikut manhaj jamaah..Program-program susulan, akan kita susun kemudian..Apa-apa masalah, beritahu umi..Kita bincang dalam phone..Nanti update apa perkembangan kumpulan akhi tu “...

Allah!. Kali ini memang rasa nak jatuh menyembah bumi. Mana tidaknya!, tiba-tiba terasa amanah yang begitu berat ditimpakan atas kepala bahu!. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya, dan menghembuskannya dalam keadaan yang santai. Aku dikehendaki bentuk kumpulan baru. Jamaah baru!. Dalam hati aku, “ini betul-betul kerja gila!. Nanti tahu dek ustaz G, mati aku!. Dah la lagi 2 minggu nak UPS. Ini memang risiko gila-gila ni. Aduyaiii!  “…

Entah kenapa aku tidak menolak saja permintaan umi itu. Aku menerima amanah itu dengan hati yang terbuka walaupun pada awalnya sedikit tidak ikhlas. Aku anggap, itulah ketetapan Allah. Itulah yang Allah aturkan untukku dan aku harus redha dengan ketetapan itu kerana ia menguntungkan Islam juga diakhirnya. Aku teruskan projek membentuk jamaah baru di  matrikulasi itu. Terasa sukar tapi dengan izin Allah, segala-galanya menjadi mudah. Benarlah kata orang awal dalam dakwah, “nak buat kerja perjuangan ni, kena ikhlaskan niat”…

Dalam masa 2 minggu itu juga, aku mencari dan mengajak sahabat-sahabat yang boleh di ajak untuk membentuk kumpulan ini bersama aku. Aku tidak ingin berseorangan kerana kambing yang berjalan sendirian akan mudah dimakan oleh serigala yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menerkam mangsanya. Dalam tidak disangka-sangka, aku dapat mengumpulkan lebih kurang 7 orang dalam masa itu. Lalu, aku membuat pertemuan pertama dengan mereka. Pertemuan yang matlamat dan agenda utamanya adalah menjelaskan apa dibuat ini…

Aku menjelaskan kesemuanya pada mereka tentang keadaan yang dicerita oleh umi pada awalnya. Dengan izin Allah lagi, mereka dengan mudahnya menerima sahutan ini. Antara tips aku menggabungkan mereka adalah dengan menyatukan mereka dari sudut pemikiran mereka. Kesemua 7 orang ini minat akan isu politik. Setelah aku ceritakan bahawa aku dan mereka perlu membuat satu kumpulan baru di bawah JXX, lalu mereka bersetuju tanpa banyak tanya…

Lalu aku memulakan pertemuan susulan di tempat yang berbeza. Aku menjelaskan dan memberikan kefahaman kepada mereka soal kerahsiaan dan kewaspadaan, menjelaskan tentang organisasi kumpulan, juga tentang taat setia kepada perjuangan. Aku juga membawa mereka keluar untuk ber’latihan’ sama-sama. Taat setia untuk bersama dalam perjuangan. Uniknya, mereka tidak terkejut akan projek aku ini. Mereka ibaratnya sami'na wa atho'na. kami dengar dan kami taat…

Masa makan masa, pergerakan kumpulan aku ini diketahui oleh kumpulan yang asal yang dikatakan tidak mengikut manhaj itu. Maka berlaku sedikit ketidak puashatian antara kumpulan aku dan mereka. Tapi, tidaklah sampai bergaduh, cuma terkadang bermasam muka sahaja. Ukhuwwah sesama muslim masih terjaga. Alhamdulillah...

Diringkaskan cerita, kumpulan aku dan kumpulan asal itu yang mana amir mereka ketika itu ialah akhi H, dipertemukan oleh pimpinan. Kami dikehendaki untuk buat suatu mesyuarat tergempar, untuk membuat pencerahan apa sebenarnya yang berlaku. Kumpulan asal itu ada muslimin dan muslimat manakala kumpulan aku hanya ada muslimin 7 orang yang baru nak bertapak. Lalu, muslimin antara kumpulan aku dan akhi H ini membuat pertemuan tertutup dalam bilik pejabat surau 'orang-orang yang bertaqwa'...

Pencerahan dimulai oleh akhi H yang memulakan pencerahannya dengan menerangkan semua kronologi perjalanan kumpulan mereka yang ketika itu yang dipercayai diberi nama Aku Muslim (baca: AM). Aku mendengar dengan teliti. Alhamdulillah, selesai dan jelas!. Aku pun menerangkan sedikit sebanyak pergerakan kumpulan aku yang masih baru ini atas arahan pimpinan induk. Setelah pencerahan, baru aku tahu yang semua ini berlaku hanya kerana sebuah salah faham. Kumpulan akhi H itu rupa-rupanya senior abang2 dan kakak2 yang susun program tanpa dimaklumkan kepada pimpinan induk ketika itu. Dan kumpulan akhi H muslimin dan muslimat itu pun tidak tahu yang mereka dikawal oleh senior. Ingatkan betul-betul bawah pimpinan induk tetapi sebaliknya. Memang sebelum ini, aku sangat anti dengan sahabat-sahabat di matrikulasi lain yang namanya disyaki dari kumpulan AM ni. Kerana menurut pimpinan kumpulan ini merbahaya cara mereka mendidik adik-adik. Ohh, rupanya kumpulan ini dah besar jaringan di matrikulasi yang lain…

Sejak dari itu selepas pencerahan, kumpulan kami bergabung!. Membentuk satu tenaga baru dan memulakan hidup baru dengan niat perjuangan yang satu. Antara perkataan yang aku pegang dari dulu sampai sekarang ialah, “Wehdatul Fikr, Wehdatul Amal”. Perkataan itu juga aku peroleh dari satu program yang dianjurkan oleh pimpinan. Aku meneruskan perjuangan bersama keluarga besar sehingga kami diikat janji setia untuk bersama memperjuangkan agamaNya…

Mula memilih haluan sendiri

Aku meneruskan perjuangan bersama kumpulan besarku itu sehinggalah tahun satu semester pertama di sebuah universiti di Bumi Penyu. Sehingga tiba saatku untuk memilih di akhir semester 1, kapal manakah yang ingin aku berintima’(bergabung) dan fokus. Lalu, setelah istikharah dan melalui beberapa pembacaan dari tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin, lalu aku memilih untuk keluar dari kumpulan aku yang dahulunya aku bersama dan kini bersama kumpulan yang baru yang aku yakini manhajnya yang menghampiri cara yang Al-Banna inginkan dalam proses kebangkitan ummah bermula dengan asasnya…

Alhamdulillah. Kini aku yakin dengan jalan ini. Dalam kumpulan dan kapal yang berbeza dari dahulu. Tentangan masih ada namun aku kuatkan diri menempuhi semua ranjau itu. Inilah jalanku!..Walaupun dalam proses aku ingin bertukar kapal, aku dihentam dan dipsiko oleh abang-abang dalam kumpulan yang lama aku sertai itu yang mempersoalkan tentang manhaj kumpulan aku sertai sekarang. Bila aku tanya kepada mereka semula, mereka diam seribu bahasa. Sabar juga aku dengan mereka namun kini aku berlapang dada dan merindui mereka tika berprogram bersama di sebuah tempat di Batu Tiga Terengganu…

Aku menelefon kembali umi, dan menyatakan, “Umi, saya ingin memilih haluan sendiri kerana saya kurang selesa dengan sistem yang saya berada dulu..Maaf..Terima kasih atas bantuan selama ini”…

Ku ingati ukhuwah itu

Siapa kata memori ukhuwah mudah terpadam?. Itu dusta!, kerana ukhuwah fillah itu sukar untuk dilupakan. Sungguh aku merindui sahabat jamaah aku yang lama. Ingat lagi kami satu famili besar bersama-sama ke sebuah tempat yang bernama Congkak dan di situ terdapat sungai. Ingat lagi kami banyak berprogram bersama, hendap masuk matrikulasi bersama, ber BBQ bersama di belakang surau, kami membincangkan tugasan sama-sama dan menerangkan pada pelapis kami apa yang mereka perlu lakukan selepas kami keluar dan membincangkan masalah sama-sama. Memang ukhuwwah sungguh lah!…

Sungguh itu ukhuwah yang tidak dapat dilupakan. Aku merindui mereka. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat menerima keputusan aku keluar dari kumpulan mereka. Namun, aku tersangat yakin masih terdapat sebilangan dari mereka yang masih dapat menerimaku sebagai sahabat. Walaupun kini kapal dan cara perjuangan kami sudah mula berbeza…

Dan…

Syukran katsiran kepada umi F yang dikasihi keranaNya yang kini berada di sebuah institusi pengajian di Melaka yang dahulunya mempertemukan aku dengan jalan perjuangan ini. Dia antara murabbiyah yang terbaik yang pernah aku kenali dalam sirah perjuanganku ini.. Syukran!


:: Walau cara kita berbeza, walau kumpulan kita berbeza, walau manhaj kita berbeza tapi yang pasti adalah destinasi kita adalah sama!. Iaitu Mardhatillah dan syurgaNya ::