Haazihi Sabiili

Rabu, 19 Ogos 2009

Fenomena Cinta Anta Anti

oleh ustaz maszlee malik

“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara” (Surah al-Hujuraat, ayat 10),

“Tidak beriman seorang muslim itu sehinggadia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan ia juga menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain kedua-dua ayat dan hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan “ukhuwah” yang bermakna “persaudaraan” sering dijadikan tema untuk persaudaraan ikhals yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadi contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun 70’an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu ini hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Perjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan “ukhuwwah”.

Cinta Remaja Dakwah


Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang adalah persoalan cinta. Alaf yang serba unik ini telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di”islamik”kan seperti mana bank-bank, institusi- institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah “Cinta Ukhuwwah”. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqibah-naqibah usrah dan merekan yang menggunakan ganti nama “ana-anta dan ana-anti”.

Sms, Yahoo messenger, e-mail dan lain-lain kemudahan ICT telah menjadi penghubung utama cinta “anta-anti” ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy-bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai…kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk bombastic berbaur cinta asmara. Hakikatnya. Fenomena cinta “anta-anti” ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat, wal’iyadhubillah…


Salah Faham Ukhuwah Fillah


Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh seorang Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari-raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut.

Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata “Ukhuwwah fillah kekal abadi…”. Sekali lagi makna ukhuwwah di salah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu “jemaah” dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui e-mail, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu “jemaah” dengan mereka. Aduh…lagi hebat daripada filem “Love Story” yang pernah popular di tahun-tahun 70’an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema “ukuwwah fillah” menjadi “camouflage” ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.

Sekali lagi slogan ukuwwah fillah menjadi lapik dan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, maka si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan “trend” percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaan yang lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka…ini yang paling menarik. Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung liitup. Jika di zaman 70’an dahulu, nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop “kafir” dari pendukung dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan “Abuya”nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan bersongkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat krpada beliau. Sayangnya, atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, akak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah “kawan”nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keyuan wajah gadis tersebut “Ukhuwwah fillah membawa ke Jannah”.

Persoalannya, adakah fenomena ini cukup sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penuliskah yang ketinggalan zaman sehingga naïf terhadap trend muda-mudi masa kini? Ataupun fiqh islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap “sihat” atau tidak sihatnya budaya ini. Semoga ada di kalangan pembaca yang dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

Sinopsis Tautan Hati

Tautan Hati

Asiah Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.

Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun, halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.

Berputus asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki.

Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Walaupun sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga berpotensi untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.

Namun, berkat keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh membawanya ke jalan Allah s.w.t.

Adakah usaha tarbiahnya akan berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati.

Novel hasil karya novelis Sayembara Novel Remaja Jubli Emas DBP 2006, Fatimah Syarha Mohd ini mengisahkan kehidupan gadis istimewa, Asiah Yusra yang sentiasa meletakkan dakwah Islamiah sebagai nadi kehidupannya. Ramai di antara rakan-rakannya yang tertarik dengan keperibadiannya yang tinggi. Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal psikologi dan sebagainya. Segala penerangan tersebut telah berjaya disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.

Tidak Mudah Memperjuangkan Islam

perjuangan

Engkau kata hendak mencari keredhaan Tuhan,
Engkau mengaku hendak menegakkan syariatNya,

Tapi bila diuji tidak sabar dan tidak tahan,
Ketentuan Tuhan tidak pula redha menerimaNya…

Engkau berkata hendak memperjuangkan hak Tuhan,
Tapi setiap kerja yang engkau buat minta pujian,

Memang pujian itulah yang engkau cita-citakan,
Pujian itulah sebenarnya perjuangan engkau…

Engkau bercerita hendak membuat kerja-kerja Tuhan,
Tapi dapat nikmat tidak diagih-agih,

Di mana syukurnya engkau kepada Tuhan,
Dapat nikmat lupa kawan…

Engkau mengaku hendak memperjuangkan Islam,
Tapi bercakap mengata dan mengumpat orang,

Sepatutnya engkau perjuangkan kasih sayang,
Kenyataannya engkau memecahkan perpaduan,

Sahabat! Bercakap mudah, mengotakan susah,
Menyebutkan senang, mengamalkan dalam kehidupan payah,

Sedarlah, insaflah teman,
Memperjuangkan Islam tidak semudah yang dicakapkan…

Selasa, 18 Ogos 2009

Demonstrasi Aman & Dalil-Dalil Keharusannya

Pertamanya, aktiviti menzahirkan aspirasi di dalam Islam (ta'bir ar-ra'yi), baik secara perseorangan ataupun berkumpulan, adalah perkara yang dibolehkan (mubah). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan tentang suatu perkara.Justify Full
Berbeza dengan ‘demonstrasi liar’ (Muzarahah) yang jelas diharamkan oleh Islam seperti melakukan demonstrasi dengan disertai beberapa aktiviti yang menyalahi tata susila agama seperti merosak atau membakar harta benda awam, mengganggu ketenteraman dan sejenisnya sehingga mengakibatkan rusuhan, penganiayaan dan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.

Di dalam Islam, ‘demonstrasi aman’ (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan. Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman serta mematuhi hukum-hukum syara’ termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan. Ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak merosakkan hak-hak umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.

Jika diteliti sirah Rasulullah S.A.W, baginda pernah melakukan siri-siri demonstrasi aman di kota Makkah sendiri. Peristiwa ini terjadi setelah baginda diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya berdakwah secara terang-terangan. Lalu baginda memerintahkan kaum Muslimin keluar membentuk 2 barisan menuju Kaabah. Satu barisan dipimpin oleh Saidina Umar al Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Rasulullah mengetuai kelompok tersebut dan berdakwah kepada mereka secara terang-terangan. Masiirah ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan kutlah (kelompok) kaum Muslimin, yang membawa mesej kebenaran, yang selama ini telah ditasqif (dibina) secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah al Arqam ibnu al Arqam.

Perlu difahami bahawa Islam memandang Masiirah sebagai salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai matlamat di dalam melakukan proses perubahan masyarakat.

Banyak perkara yang wajib diambil berat oleh umat Islam untuk mencontohi Rasulullah. Contohnya, method Rasulullah mengumpulkan manusia dan menzahirkan kebenaran Islam di dalam menegakkan kalimah tauhid. Uslub adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apabila keadaan memerlukan, Masiirah boleh dilakukan dan sebaliknya jika tidak patut ditinggalkan dan ia sesuai dengan keharusannya. Betapa mulianya aktiviti amar makruf nahi mungkar ini telah dijelaskan Rasulullah salallahualaihi wasalam di dalam sabdanya:

“..Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya..” [HR al Hakim].

Dalam menasihati dan mengkritik dasar yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam adalah wajib meskipun caranya berbagai-bagai. Sama ada dilakukan secara langsung bertemu face to face, melalui penulisan, seminar dan kuliyyah seangkatan dengannya, demonstrasi aman dan lain-lain lagi.
Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ sama ada secara langsung atau tidak adalah jelas lebih mulia berbanding dengan tidak melakukan apa-apa sambil mengeji dan menghina orang lain yang bersemangat melakukannya.

Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ (al-ghaayah tubarriru al wasilah), sebagaimana yang difahami masyarakat Yahudi. Tindak-tanduk seorang Muslim sebagai individu, sebagai anggota masyarakat atau sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi dengan cara berdemonstrasi, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah perkenankan iaitu demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman. Wallahua'lam...