Haazihi Sabiili

Rabu, 9 November 2016

:: Hayati Nikmat Padamu ::




Pehhh.
Pehhh.
Pehhh.
Boleh tahan lama juga lah aku tak meng’hupdate’ blog ni. Asyik hupdate status je. Dah setahun lebih kot. Astaghfirullah. Nak kata tak ada masa?. Ada je masa sebenarnya. Cuma, biasalah. Nak menulis ni bukan boleh main tulis je. Idea tu dia tak mai macam tu saja. Ada masa-masa idea tu akan menerjah hati dan minda. Ada masa kena lepak kat tepi pantai atas batu, baru ilham mencurah-curah ke ladang gandum. Eh.
Boleh tahan lama juga lah tak buat apa-apa coretan di blog ni. Sesekali terasa rindu nak menulis, tapi apakan daya, ada perkara yang lebih utama untuk saya buat. Sekarang je rasa macam ada masa sikit.
Biasa lah tu. Bila kita sedang cuba dan bertatih-tatih mengajak dan membimbing manusia ke jalan Allah, tidak cukup sekadar di hadapan papan kekunci dan laptop saja. Ia perlu dibumikan di medan amal kita..Susah ke, senang ke, pokoknya(awat rasa macam indon pula nih), di medan!.
Renung nikmat Tuhanmu itu
Bila kita renung kembali, muhasabah kembali,
Sejauh mana syukur kita pada Tuhan?
Sekuat mana syukur kita kepada yang menciptakan kita?.
Subhanallah!.
Mungkin jika ditanyakan kepada orang kebiasaan, apa yang dia faham tentang nikmat, mesti dia akan mengatakan bahawa nikmat itu adalah suatu yang seronok, enak, bahagia dan bermanfaat. Mungkin.
Bila ditanya, “Apa contoh nikmat yang anda tahu?.”
Mungkin mereka akan kata, dapat iphone, dapat kereta besar, dapat rumah besar, dapat isteri cantik menawan, dapat baby comel, dapat gaji lebih rm15k sebulan (join seminar Dr. Azizan lah tu.hehe), produk kecantikan terjual dengan laris sekali, dapat badan sado dan sebagainya.
Ya, betul!. Tidak ada salahnya dengan takrifan sebegitu. Cuma adakah itu sebenar-benarnya nikmat di sisi Tuhanmu?
Macam mana pula dengan orang yang dapat semua nikmat yang baru saja disebut sebentar tadi, tapi, hidupnya tidak tenang. Resah. Gelisah. Jiwa kacau. Stress.
Bagaimana pula?.
Adakah itu semua nikmat baginya?.
Semuanya dari Tuhanmu
Asal anda tahu, semua yang ada atas bumi dan langit ini adalah ciptaan Allah. Lalu, nikmat yang terlahir juga adalah dari Tuhanmu. Sekecil-kecil nikmat hinggalah sebesar-besar nikmat, itu semua dari Tuhanmu.
Tahu?.
Sangat benar firman Allah:
“Dan tidak ada kenikmatan yang ada pada kalian kecuali datangnya dari Allah” (An-Nahl:3)
Tapi ramai manusia yang jarang nak merasai nikmat yang mereka dapat itu sebenarnya dari Allah!. Yang banyaknya, bila dapat nikmat, terus lupa Allah.
Yang Maha Memberi Nikmat.
Adakah nikmat Allah yang begitu banyak ini tidak cukup mewujudkan izzah , rasa agung dan bangga kita kepada Allah?.
Tidak rasa kagum dan takjub kah kita dengan apa yang Allah dah kurniakan kepada kita manusia buat kesekian kalinya?.
Setakat mahu mengira keuntungan bisnes kita boleh lagi walaupun jualan kita meroket ke langit, tapi inshaa Allah, kita masih lagi mampu mengiranya.
“Kalau tak mampu?.”
Ya, masa itulah kita guna khidmat mesin pengira untuk mengira keuntungan kita. Kofkofkof.
Tapi,
Nikmat Allah ini gimana sih?(eh, indon lagi)
Ada siapa-siapa yang sudah pun cuba mengira nikmat Allah ini?.
Sudah lah. Jangan kamu membuang masa.
Kata Allah;
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” (Ibrahim: 34)
Nikmat pada penciptaanmu

Pada setiap minggu, satu malam.

Aku akan bersama sebahagian pemuda junior di dalam jilsah tafakkur. Duduk-duduk berfikir.

Satu malam itu,

Aku memulai cerita tentang bagaimana hebatnya Allah menciptakan kita. Pen dan buku nota bersedia. Menyalin apa yang boleh sebagai bekalan kemudian harinya.

Aku memulai halaqoh dengan membaca Surah Al-Mu’minuun ayat 14.

“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

Aku memulai penceritaan, ada seorang sahabat yang namanya tidak asing lagi bagi kita, Saidina Umar Al-Khattab, bila lalu ayat ini, rasa takjub yang amat dia!.

Takjub yang lahir dari sudut hati yang paling dalam!.

Lalu ungkapan,

Fa Tabaarokallahu ahsanul khaaliqin (Maka, nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta)” terungkap dari mulut Saidina Umar yang mulia itu.

Rasa kagum dengan Tuhannya sendiri.

Kagum dengan nikmat Tuhan atas batang tubuhnya sendiri.”

Melihat pemuda junior tengah khusyuk salin apa yang aku ceritakan sebentar tadi.

Aku menyambung lagi ceritaku dengan bertanyakan kepada mereka satu soalan.

“Ikhwah sekalian, cuba kita sama-sama tengok ayat tadi. Allah sedang menceritakan tentang apa?.”

“Proses penciptaan manusia.” salah seorang mereka menjawab.

“ Benar!.

Lihatlah betapa bagaimana Allah detailkan proses penciptaan manusia.

Bermula dengan nuthfah(air mani), kemudiannya ‘alaqah(segumpal darah), kemudiannya mudghoh(seketul daging), kemudiannya ‘izhom(daging yang disaluti tulang-tulang) lalu kemudiannya tercipta lah manusia.

Yang lengkap sepenuhnya kejadian seorang manusia.

Subhanallah!.

Fa Tabaarokallahu ahsanul khaaliqin.

Masanya kita muhasabah

Cuba anda bayangkan, bagaimana hebatnya Allah mengatur kejadian kita?. Bagaimana Allah dengan kuasanya, mampu melekatkan ‘alaqah di dinding rahim seorang wanita (ibu kita)?.

Kita sendiri tidak ada daya dan kuasanya untuk melekatkan sesuatu yang diluar batasan kita. Kita mahu gumpalan darah itu melekat di dinding rahim wanita, agar zuriat terlahir. Tapi, kita tidak mampu pun.

Hanya Allah saja yang berkuasa atas itu semua.

Ternyata kita ini kerdil! T_T
Ternyata kita ini lemah! T_T
Ternyata kita ini hina! T_T

Di saat ini, adakah kita benar-benar berterima kasih atas Tuhan yang menjadikan nikmat ini lalu kita ini hidup dan lahir atas dunia ini dengan nikmatNYA?.

Cuba bayangkan lagi,

Ada pasangan yang diikat secara halal, lalu menginginkan zuriat, tapi tidak dikurniakan zuriat lagi. Sehingga kadang-kadang mengganggu emosi. Didepan nampak ceria, tapi dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Mendambakan seorang anak!.

Ada pasangan yang tidak diikat secara halal pun, tapi, anak itu lahir dari hasil zina mereka. Peroleh seorang anak. Anak tidak sah taraf.

Yang halal, inginkan anak, tapi tidak diizinkan lagi. Yang haram, tidak mahu anak, tapi, sudah terlanjur, nak buat macam mana. Astaghfirullah.

Lihat,

Mereka yang bernikah secara halal pun tidak mampu nak melahirkan zuriat walaupun pasangan itu subur. Tapi, mereka yang berzina pula yang dapat anak tanpa dipinta.

Itu semua seizin dariNYA.
Itu semua ujian dariNYA.

Buat yang inginkan zuriat, perbanyakkan istighfar. Perbanyakkanlah!.

Buat yang sudah biasa dengan jalan zina, bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan.

Hayati nikmat penciptaanmu

Benarlah kata Ibnul Qayyim Al-Jauzi;

“Setiap kesempurnaan dan kebaikan yang ada pada makhluk, berasal dari kesempurnaan dan kebaikan Allah.”
Kita amat perlukan Allah.

Kita yakin lagi percaya bahawa segala nikmat yang ada dalam diri kita baik bagaimana kita diciptakan sehinggalah nikmat deria dan anggota yang Allah kurnia.

Itu semua atas sifat pemurahnya Allah.

Mari sama-sama hayati diri kita ini.

Timbulkan rasa takjub kepada Rabb, walau terkadang diri sering berdosa padaNYA.

Rasa insaf pada Tuhan yang menciptakan kita, walau diri sering saja melalaikanNYA.

Rasa ingin bergantung hidup padaNYA, walau diri seringkali terlupa bahawa adanya Allah.

Atas segala nikmat Tuhan ini;


Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?

muslimdaie90_KK 

Selasa, 20 Oktober 2015

:: Dunia; permainan yang melalaikan ::




"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya menggagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering, dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur; Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras (berat), dan keampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu."
(Al-Hadid:20).

Inilah dunia. Yang kita bangga-banggakan. Rupanya ia permainan lagi melalaikan. Mata manusia banyak tertumpu padanya. Entah apa yang ada pada dunia yang sementara ini. Dunia tidak ada salahnya kita mencari, tetapi jangan sampai ia melalaikan. Jangan sampai ia meragut matlamat asal kita hidup di dunia.

8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Itulah waktu “keramat” bagi manusia yang begitu cinta akan dunia. Waktu manusia berpusu-pusu bertebaran mencari hasil untuk terus hidup.

Sang suami dan sang isteri.

Bergerak mencari nafkah untuk memastikan kelangsungan hidup berkeluarga. Memberi makan kepada anak-anak. Dengan titik peluh mereka.

Sang anak rendah dan menengah.

Memakai kasut dan baju sekolah yang cantik. Perlu ada di tapak perhimpunan pada jam 7.15 pagi. Masuk kelas dan belajar baik subjek akademik atau subjek agama. Balik sekolah. Letih. Bau peluh.

Sang mahasiswa.

Menuju ke universiti. Pergi ke kuliah. Bagi pelajar pascasiswazah, makmal dan kerja lapangan adalah arah tujuan utama. Bekerja keras dalam akademik demi merangkul kejayaan di menara gading. Target untuk terbitkan 1 atau 2 jurnal. Itu matlamatnya.

Sang pensyarah,

Memandu kenderaan sambil mendengar radio IKIM. Mengajar dalam kuliah. Menanti kehadiran pelajar di pejabat. Sambil mengejar Key Performance Indicator(KPI) mereka iaitu menerbitkan artikel jurnal yang berimpak

Sang ‘Lelaki & Wanita Bisnes’.

Sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk merancakkan bisnes. Mencari downline. Memasarkan produk-produk yang ada seperti Qu Puteh,D’Herbs atau mungkin dalam ruang motivasi seperti Dr. Azizan Osman.

Analogi Allah kepada dunia. Fuhhhh, dahsyat sekali dong!. Bak kata orang PadaSuka, Bandung, Indonesia.

Dunia yang kita banggakan, tidak ada bezanya dengan seorang petani. Petani yang kagum dan sangat suka akan tanamannya yang subur.

Dari tanaman yang subur, kemudian menjadi kering tidak mendapat zat mineral yang secukupnya, dedaunan pohon menjadi kuning lalu hancur!. Tidak berguna lagi.

Itulah analogi kepada dunia!.

Rugi sekelip mata kita.

Masih ada sinar akhirat

Tapi. Tapi. Tapiii.

Tidak semua yang mengejar dunia itu, dalam hatinya hanya dunia. Ramai juga dalam kalangan mereka itu cintakan akhirat. Husnuz zhon lah.

Masih ada sinarnya!.

Sinar Hari Pembalasan!.

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal(Al-Mu’minun:39)”

Tidak logik kita begitu mengejar dunia sedangkan Allah sebut ia sementara.

Tapi sangat logik jika kita utamakan akhirat?. Bukankah akhirat itu negeri yang kekal?.

Sang suami & isteri, mahasiswa, pensyarah, orang bisnes, pelajar. Ya, jangan anda sangka buruk. Boleh jadi dunia yang mereka kejar itu, adalah untuk akhirat juga. Nampak macam kejar dunia, tapi dialah yang paling dekat dengan Allah.

Jangan pelik, plisssss

Hei anda, jangan nak buat pelik sangat lah kan. Biasa lah tu orang yang kita nampak kejar dunia, tapi dia kejar juga akhirat.

Sang suami & isteri, pada malamnya sering mengajar anaknya mengaji di malam hari. Sering solat jemaah sekali!.

Sang mahasiswa, pada malamnya sering keluar pergi mencari junior-junior atau kawan-kawan untuk ditarbiah mengenali Rabb.

Sang pensyarah, pada malamnya sering tidak melekat di rumah kerana ada saja usrah yang harus dihadiri. Al-maklumlah, sang murabbi.

Sang orang bisnes, pada malamnya sering saja bermesyuarat bersama temannya(baca:ikhwah/akhowat) demi memantapkan lagi penjanaan ekonomi dakwah.

Sang pelajar, pada malamnya sering diperingatkan agar menjaga solat, baca Quran. Sekali-sekala diminta oleh ibu bapa/guru untuk menghadiri kem-kem bina sahsiah diri.

Sudah-sudahlah menggaru kepala yang tak berapa nak gatal tu. Kalau gatal juga, pergi lah Guardian untuk beli shampoo yang menghilangkan gatal.

Setelah akhirat di hati, lalu dunia hanya di genggaman. Boleh di kawal mengikut hati ukhrawi. Mantap!.

Mereka mencari akhirat, bukan sebab nak cari kekayaan atau keuntungan depan mata. Malah mereka tahu yang mereka akan kehabisan harta untuk digunakan di jalan akhirat. Tapi di sebalik kehabisan harta itu, ada keuntungannya. Yang bakal dituai di akhirat sana!.

Carilah akhirat, tapi jangan lupa bahagian kamu di dunia. Biar akhirat menguasai hati kamu, pasti Allah akan datangkan dunia kepada kamu.

Yakin. Yakin. Dan terus yakin!.


Muslimdaie
201015;3.00

Selasa, 5 Mei 2015

:: Aman Ahamad. Kau Sahabat, Kau Mujahid ::



“ Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh….. (An-Nisa’:78) “

            Inilah ayat Allah yang mampu melenturkan jiwa yang keras. Mana tidaknya, setiap dari kita pasti ada ‘mindset’ tak mahu mati awal. Kalau boleh kita nak lari dari kematian sedangkan kita kena sedar dengan akal yang waras bahawa kita ini hanya hamba Allah yang hina!. Ya, sangat hina!. Dari sari pati air yang hina!. Keluar dari tempat keluarnya najis. Allahhhhh, hinanya kita.

            Melihat kematian dari sudut pandang seorang hamba benar-benar merendahkan ego. Siapa kita?. Hanya manusia ciptaan Tuhan. Kita jangan rasa hidup lama atas muka bumi ni padahal tanah tengah menantikan kehadiran kita. Persiapkan diri kita sahabat!. Jangan jemu dekat dengan Tuhan.

Titik mulanya

            Pejam celik, pejam celik. Aku sudah berada di Semester 2 di Kolej Matrikulasi Pahang. Kolej yang aku sayangi. Kolej di tengah hutan Gambang. Waktu pagi kebiasaannya di temani oleh bunyian yang lahir dari dalam hutan. Barangkali ia bertasbih tenang kepada Allah. Juga angin yang sejuk hingga menikam tulang yang paling dalam. Mana tidaknya, kolej aku itu dikelilingi oleh tumbuhan yang pemurah. Sentiasa mensedekahkan oksigen dan kesegaran untuk aku bernafas. Alhamdulillah!.

            Semester 2 juga aku kenal dengan jamaah Islam. Bukan jamaah sesat, tapi inshaa Allah, jamaah yang bergerak untuk Islam. Aku tidak berniat untuk bercerita panjang kerana sejarah aku kenal dengan jemaah itu sudah pun aku nukilkan dalam post yang sebelum ini. Ku rungkai sebuah memori. Kalian bacalah di situ.

            Dalam post itu, aku telah sebut yang aku telah mencari sahabat-sahabat yang boleh diajak untuk membentuk satu jamaah yang berada di bawah aku. Aku masih ingat waktu itu. Memori itu masih segar. Momen itu masih mengambil tempat dalam ruang hatiku.

            Aman Ahamad. Itulah nama yang hebat bagiku. Bagi aku, dialah tulang belakang kepada awal dakwahku di matrik dahulu. Akan aku nukilkan kisahnya sekarang.

Aman Ahamad

            Sungguh aku merinduimu kerana Allah wahai sahabatku.

            Beliau berasal dari sebuah perkampungan di Felda Bukit Kuantan. Dia pernah bersekolah rendah sekali dengan aku. SKBK(Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Kuantan). Kisah aku bersamanya tidaklah banyak ketika di bangku sekolah. Dia seorang yang pandai manakala aku ini hanya sederhana. Masa di sekolah aku pengawas sekolah. Mana tidaknya, ayah aku juga mengajar di sekolah tersebut. Maka aku dikenali sebagai anak cikgu. Ada tindak-tindak hormat dari teman-teman dek kerana aku anak cikgu.

            Aman dulu bertugas sebagai pengawas perpustakaan yang mana ketika itu berpakaian warna ungu. Dia seorang yang baik walaupun biasalah, masa zaman sekolah, tidaklah sebaik sekarang(ehem). Memang lumrah zaman sekolah, semua nakal-nakal belaka termasuk aku yang menulis ni. Semua nak tunjuk hero. Hero di mata murid-murid perempuan barangkali. Errrrrrrr. Di matrik, sekali lagi aku dipertemukan dengannya. Gembira sebab jumpa member sekolah rendah.

Bermula kisah aku dan dia

            Segala-galanya bermula setelah pengarahan dari J** dikeluarkan. Maka, antara approach yang aku guna ialah, aku akan cuba satukan mereka-mereka yang ada fikrah politik yang sama iaitu “hijau”. Orang yang pertama aku ingin approach, sudah pastilah Aman Ahamad. Aku memang sudah maklum yang Aman ni memang jenis kuat “hijau”. Familinya pun tak kurang hebatnya. Kuat sungguh dengan “hijau”. Maka, perbualan aku bermula dengannya di Surau Muttaqin.

            “Aman, sini jap. Nak borak-borak sikit. Macam ni, ana(terus guna ana) ingat nak buat group la kat matrik ni. Group kita la. Sebab kita kan masing-masing minat politik. Macam tak best pulak kalau kita tak buat group yang kita boleh sama-sama bincang”, aku memulakan bicara tanpa memberitahu niat sebenar aku ingin setup group itu.

            “Ok jugak tu!. Ana pun ada kenal beberapa orang yang ana rasa berpotensi. Nanti ana cuba ajak diorang”, Aman menyahut ajakan aku tanpa banyak soal.

            “Alhamdulillah. Ok aman. Nanti kita setup masa untuk berjumpa dengan diorang. Buat masa sekarang, enta cari orang dulu. Nanti ana cuba atur pergerakan seterusnya. Nantikan arahan dari ana. Moga Allah mempermudah segala urusan kita man”, aku cuba mengatur langkah pergerakan group kami nanti.

            Aku menanti dengan penuh sabar dan tenang. Menanti khabar dari Aman. Segala-galanya bermula 2 minggu sebelum UPS(Ujian Pertengahan Semester). Fuhhhhh, mencabar sungguh!. Aman datang kepada aku membawa khabar gembira yang benar-benar menaikkan semangat muda aku!.

            “Ihsan, ana dah dapat kumpul dalam 5 orang untuk setup group kita. Apa plan seterusnya?”, tanya Aman dengan penuh semangat.

            “Ok Aman. Cantik!. Alhamdulillah. Ok. Ana nak kita berjumpa Jumaat malam kat kerusi-kerusi di lorong perpustakaan. Gelap kat situ, tapi tak gelap sangat”, aku cuba mengarah Aman untuk membawa 5 orang tersebut ke lokasi itu pada waktu yang ditetapkan.

            “Ok Ihsan. Takdek masalah. Boleh”, Aman membalas aku dengan penuh patuh. Memang ketika di matrik dia respek aku sebab mungkin aku anak cikgu.

Malam di perpustakaan itu

            Inilah malam yang aku nantikan. Aku fikir, aku harus berterus terang kepada mereka yang aku ini diberi pengarahan untuk buat satu group di matrik ini. Group “hijau” yang original katanya. Aku masih ingat tajuk yang aku kupas kepada mereka ialah berkenaan dengan Sirr Wa Hazar(kerahsiaan dan kewaspadaan) dan keperluan untuk berjamaah. Dahsyat tajuk tuh!. Aku cerita kepada mereka pentingnya duduk dalam jamaah dan menjaga rahsia pergerakan kita ni.

            Aku sangat bersyukur kepada Rabb kerana mereka sangat taat dengan apa yang telah aku khabarkan. Aku anggap itulah tarbiyah Allah buat diriku. Allah mahu aku kenal dengan perjuangan ini. Terima kasih Ya Allah.

            Malam itu dianggap malam bai’ah antara mereka dengan aku. Mereka tidaklah taksub kepada aku tapi sekadar menghormati aku sebagai naqib yang membawa mereka. Kami jalankan usrah dalam stor, dalam bilik rahsia(markaz), dalam bilik tutor, di library. Pergerakan kami tidak diketahui oleh orang. Sangat rahsia.

            Banyak lagi yang ingin aku ceritakan tapi cukuplah sekadar itu saja tentang pergerakan kami.

Jasanya pada Islam, banyak!

            Kalau tidak kerana sahabatku AMAN ini, aku rasa aku tidak mampu bergerak sendirian. Aman lah yang banyak berjasa. Dia sentiasa dengan semangat juangnya. Dia sentiasa menjadikan aku sebagai rujukannya. Walaupun dia sudah graduat dari UMP, tapi masih lagi sudi jumpa dengan aku untuk bincang soal dakwah dan perjuangan. Kagum aku dengan semangat beliau!.

            Dia selalu bincang dengan aku untuk membantu mengembangkan ruh Islam di sekolah menengah beliau di SMKBG(Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh). Kadangkala dia ajak aku makan di kedai kopi dan makan meehun sup berhampiran dengan rumah aku di Permatang Badak Kuantan. Sekali lagi aku kagum!. Subhanallah!,

Saat kau pergi

            Semasa aku perjalanan pulang selepas menyantuni famili. Ketika itu, aku masih berada dalam kawasan Masjid Wilayah seusai solat Asar. Telefon aku berdering. Call daripada HalfFeez. Aku sudah mula pelik. Aku angkat telefon itu, dan suasana diam seketika. Tepat pada 20 April 2014......

            “Ihsan, Aman dah tak dek!”, kata Halfeez dengan tenang penuh kesedihan.

            “Apa shekh?. Kenapa ni?. Apa yang berlaku”, aku tanya kembali inginkan kepastian. Dadaku sudah mula berombak. Air mata mula bergenang di kelopak. Aku tanya kembali dengan tenang.

            “Shekh, Aman dah takdek. Lemas kat Pantai Batu Hitam. Balik lah shekh. Jenguk Aman”, ujar Halfeez yang kelihatan amat berharap aku pulang jenguk Aman.

            “Ok. Inshaa Allah, ana cuba pulang shekh”, jawab aku dengan penuh redha dengan ketentuanNYA.

            Setibanya aku di rumah Aman, aku disambut oleh akhi Fariq yang juga sahabat ketika di matrik dahulu. Dia memapah aku menuju kepada jenazah Aman yang ditutupi oleh kain putih. Saat itu jenazah masih belum dimandikan lagi. Akhi Fariq membuka kain yang menutupi wajah Aman.

            Allahhhhhhhhh. Jerit hatiku. Bukan aku tidak redha, tapi batinku cuba menangis sepuas-puasnya. Aman yang aku kasihi sudah pergi bertemu Ilahi. Aku cuba mengawal emosi. Aku cuba menahan airmataku dari jatuh. Aku sentuh jenazah Aman, Subhanallah. Seolah-olah Allah campakkan ketenangan dari tubuhnya yang sudah kaku itu. Aku kembali tenang. Kembali beristighfar menerima sebuah suratan takdir. Memang berat di hati, tapi aku yakin Allah tahu itu yang terbaik.

            Itulah kematian  yang menghidupkan aku dan teman-teman yang mengenalinya dengan dekat. Orangnya memang pendiam tapi jenis yang bekerja. Kerja untuk Islam tidak pernah putus.

            Aman Ahamad. Terus kekal dalam memori aku.

            Ku hayati firman-NYA:


Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya)(Al-Ahzab:23)”

-muslimdaie90-

Selasa, 14 April 2015

:: Antara Dunia dan Pilihan ::

          


          Subhanallah!. Dah hampir setahun lebih rupanya aku tak merajinkan diri untuk singgah dan menekan papan kekunci dalam blog ni. Ya, tarikh terkahir adalah 17 Februari 2014. Boleh jadi tarikh keramat aku ni. Eh.

            Kalau diikutkan hati yang sejahtera, memang ingin saja aku menulis setiap hari. ODOP. One Day, One Post. Errrr. Tapi apakan daya, terlalu banyak amanah yang harus diselesaikan. Ini pun mencuri masa. Sebab, kebiasaan seorang penulis, bukanlah setiap waktu itu sesuai. Tapi, nak menulis kena ada masa tertentu yang sesuai. Waktu di saat idea tengah mencurah ke ladang gandum.

            Sedar tak sedar dah hampir tahun kedua semester terakhir aku sambung master nih. Kalau ikutkan target, mahu habis on time. Tapi, inshaa Allah, cuba sedaya upaya supaya boleh habis on time. Tapi, aku tidak mahu jadi seorang yang menzalimi diri sendiri disebabkan nak kejar benda-benda dunia. Sebab nak capai target dunia, solat terabai, waktu tidur berterabur, makan tak teratur dan akhirnya menzalimi diri-sendiri. Mulalah datang macam-maca penyakit, LBP, demam, selesema , batuk. Apa yang aku takuti ialah menzalimi hak kepada tarbiyah. Fuhhhh, risau!. Bisnes aku dengan Allah tu!.

            Teringat kat satu ayat Allah ni setelah menjumpainya dalam surat cinta Allah kepada aku:-

            Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni'matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. (Qasas, 28:77) ”

            Bila terbaca ayat ni, aku mula membetulkan orientasi diri. Aku kejar dunia ni kerana apa?. Murabbi aku sentiasa berpesan, walaupun kita sangat sibuk dengan dunia (master), jangan sampai kita lupa akan amal dakwah kita. Jangan sampai hak mutarabbi terabai. Ok akhi!, aku akan ingat itu!.

            Bukan senang membuat keputusan. Di tengah kesibukan dunia postgraduate, kemudian diminta membuat keputusan yang besar dalam hidup oleh murabbi. Fuhhh, peluh besar. Aku mula perbanyakan istighfar, solat hajat, tilawah Quran. Memohon ketenangan dariNYA. Bila aku fikir kembali, ya!, aku kini sudah berumur 25 tahun(2015-1990=25). Eheh. Biasalah, pada umur-umur sebegini, banyak keputusan-keputusan besar harus kita buat dalam hidup. Tapi, aku yakin dengan rencana Allah. Bilamana kita serah semua kepada Allah, Allah permudahkan dengan izinNYA. Keputusan itu bukan lah memerlukan aku bicara panjang, tapi yang diperlukan dari aku adalah PROCEED atau TIDAK. Itu saja!. Berpeluhhh!.

            Cantiknya Islam adalah memberi solusi kepada penganutnya dalam membuat keputusan besar. Itulah namanya ISTIKHARAH. Mohon Allah tunjuk jalan dan beri kekuatan. Siapa lagi kita nak bergantung selain Allah?. Allahusshomad

            Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu (Al-Ikhlas, 112:2) “

Ayat yang pendek tapi ia menentukan tahap keimanan kita. Kepada siapa kita bergantung dalam hidup?.

            Apa yang aku harapkan ialah petunjuk darinya dalam berbuat apa jua keputusan. Dan semestinya, keputusan aku itu tidak berlandaskan neraca AL-HAWA, tapi berlandaskan neraca IMAN. Aku mahukan keputusan yang bermanfaat untuk dakwah dan tarbiyah ini. Moga keputusan yang aku buat itu akhirnya menjadi penyumbang kepada kemenangan Islam menuju Ustaziyatul Alam. Allahu Ghoyatuna!.
                                                                                                                        -MuslimDaie90_SA-

Isnin, 17 Februari 2014

:: Hanya Kerana Cinta Kamu.....?!!! ::

Hammasah!. Semangat!


Di keheningan malam yang indah. Terasa angin sepoi-sepoi bahasa menghembus kulit. Saat itu terasa hebatnya Allah menciptakan angin. Walau rupanya tidak kelihatan, tetapi kewujudannya dirasai. Ada tanda di sebalik kewujudan itu. Itulah hebatnya Allah menciptakan segala ciptaannya dengan fungsi yang tersendiri.

Kehebatan Allah itu jelas bilamana wujudnya manusia. Yang juga punya fungsi yang tersendiri. Menjadi ‘abid dan khalifah. Itu fungsi utama. Ditambah lagi kehebatan Allah itu dengan wujudnya manusia yang terdiri dari dua jantina. Lelaki dan wanita. Kaum Adam dan kaum Hawa. Keduanya mempunyai tafsiran dan nilaian jiwa yang berbeza. Membuktikan kuasa Yang Esa.

Saat bersemangatnya dalam dakwah

            Akhi Fahrin: “ Salam akhi, program adik-adik minggu ini nak buat kat area mana?. Boleh akhi ‘confirm’kan?. Ana nak inform semua adik halaqoh ana ni…=) “

            Akhi Amat: “ Wasalam akhi, inshaa Allah akhi. kita akan buat di area-area Gunung Jerai!. Wahhhh!, bersemangatnya anta yer!. Ana pun hampir terlupa akan program adik-adik ni..Huhu. Asif2x “

Anda pasti sudah terbiasa dengan ayat-ayat sebegini. Menunjukkan seorang akh yang begitu bersemangat untuk mentakwin(membentuk) adik-adik halaqohnya. Hammasah!. Semangat!. Itulah ciri yang harus dimiliki oleh si pemuda yang ingin menjayakan sesebuah fikrah yang mereka yakini. Mereka membuktikan semangat itu dengan amal yang mencurah-curah!.

Kita sudah pasti tidak akan mengambil berat akan pembinaan adik-adik kita sekiranya tiadanya satu rasa ini. Rasa CINTA!. Kita akan bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu kepada dakwah ini sekiranya kita cinta akan dakwah itu sendiri. Amanah berat itu tidak akan terlaksana jika rasa cinta kita terhadap dakwah itu hanyalah ibarat pepasir di tepian pantai. Mudah saja diterbangkan angin!. Rasa cinta terhadap dakwah haruslah seperti batu yang mencengkam bumi di tengah laluan air terjun yang berlari laju.

Seronok melihat ikhwah yang begitu bersemangat dengan dakwah. Kerana semangat mereka membuatkan kita ini turut cemburu. Cemburu dengan amal mereka. Cemburu dengan apa yang ada dalam diri mereka. Lalu, membuatkan kita untuk lebih bersemangat agar mampu untuk berdiri sama tinggi dengan ikhwah yang mantop itu. Ikhwah Qowiy!.

            “ Sesungguhnya  mereka  itu  adalah  pemuda-pemuda  yang  beriman  dengan Tuhan mereka; dan  Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(18:13)”

Seorang pemuda yang benar-benar beriman, Allah akan tambahkan mereka bermacam-macam-macam petunjuk, cara dan jalan untuk menegakkan agama ini. Di bahu merekalah terletaknya amanah yang berat untk memperbaiki umat yang kian rosak ini. Bermula dari bawah. Takwin Fardil Muslim. Membina individu muslim.

Semangat berbekalkan rasa cinta ini akan membuatkan si aktivis dakwah itu bersungguh dalam amal mereka, atau kata lainnya all-out untuk dakwahnya. Syukurlah kerana Allah itu telah membuatkan kita sekian lama jatuh cinta dengan dakwah.

PerjalananMasihPanjang


Cinta memfuturkan

            Akhi Amat: “ Salam akhi, lama tak dengar khabar berita?. Senyap je. Ke mana anta selama ni?. Ke dah menikah?. Hehe. Saje gurau akhi. Jangan marah. Bila lagi kita nak berprogram bersama nih? “

            Akhi Fahrin: “ ……………………… “

Mungkin situasi ini pernah berlaku dalam hidup kamu. Apabila seorang al-akh yang dahulunya bersemangat dalam dakwah namun kini sepi menyendiri. Lebih menyedihkan, tanpa khabar berita.

Apa yang lebih menyedihkan sebenarnya apabila seorang al-akh yang begitu menggila amal dakwahnya, kini futur kerana cinta. Jika dahulunya dia begitu cintakan dakwah, kini orientasi cintanya bukan lagi dakwah tapi kepada WANITA!.

Rasulullah saw. bersabda:

            ” Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita” (HR Bukhari dan Muslim).

Ujian cinta ini bukan sahaja buat lelaki biasa, tapi lelaki dakwah juga tidak terlepas dari ujian ini. Saat bergabungnya kita dalam dakwah, kita harus tekadkan hati, bulatkan keazaman untuk menyerahkan segala harta jiwa dan raga di jalan Allah. Jangan biarkan cinta wanita itu merampas cinta suci iaitu cinta Allah.

Kenapa wanita lebih kamu cintai?!. Sedangkan mereka tidak memberi apa-apa makna kepada kamu melainkan kamu bernikah dengannya. Kerana hanya jalan pernikahan sahaja yang menghalalkan hubungan kamu. Adakah cinta kamu kepada dakwah yang dahulunya itu suatu kemunafikan dan kepura-puraan?

Seorang aktivis dakwah itu punya dua pilihan. Sama ada ingin menjadi seorang daie yang benar-benar tsabat setelah ujian menimpa atau daie yang futur kerana tunduk pada ujian. Tiada jalan tengah dalam kehidupan kita. Kita harus bertegas dalam memilih. Sama ada hitam atau putih. Sama ada syurga atau neraka. Seorang daie itu tidak akan tunduk dengan kejahilan dan kemungkaran.

Rasulullah SAW menyebut:

            " Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis laknatullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya." (Riwayat Al-Bukhari)

Singkirkan jahiliyah

            “ Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (17:32)

Akhi fillah,

Ujian cinta itu ujian yang paling berbahaya. Apatah lagi apabila kamu bergelar seorang daie. Bergelar seorang yang sedang melakukan kerja dakwah dan mentarbiah manusia menuju kepada Rabb. Adakah kamu mengimpikan manusia yang kamu bina itu dekat dengan Allah sedangkan kamu sendiri yang jauh dari Allah dengan melakukan jahiliyah cinta itu?.

Menjadi lumrah seorang wanita inginkan seseorang yang boleh mendengar masalah mereka. Boleh menjadi tempat mengadu. Apatah lagi tempat meminta nasihat. Kepada siapa lagi kalau bukan kepada budak-budak dakwah ini. Muka nampak macam alim lagi suci. Inilah pilihan wanita. Mereka juga mengimpikan suami yang boleh membawa mereka dan anak-anak menuju syurga. Huh.

Andai benar kamu cintakan Allah, singkirkan jahiliyah itu. Singkirkan ia dari kehidupan kamu. Andai benar kamu inginkan syurga abadi, berkejaranlah mengejar nikmat syurga itu. Jangan kamu menjadi fitnah kepada dakwah suci ini. Jangan jadi peroboh kepada susunan dakwah ini. Hanya jiwa yang suci saja yang mampu bertahan untuk menjadi mata rantai dakwah yang amat panjang ini.

Ayuh wahai pemuda!,

Bertegaslah dengan prinsip kalian!. Jangan mudah tunduk kepada nafsu!. Jangan pernah memenangkan Syaitan yang datang dari kanan kiri depan dan belakang kalian!. Usah  biarkan nafsumu memamah semangat dan keinginan dakwahmu!. Tidak ada yang lebih bernilai melainkan menginfaqkan diri di jalan Allah!.

Jangan harap dakwah ini akan berjaya dengan percintaan yang tidak halal itu!. Wanita yang tidak mencintai Allah, tidak pernah menguntungkan kamu!. Bahkan ia akan menjauhkan kamu dari Allah dalam diam tanpa sedar. Cintailah Allah dan Rasul melebihi segala-galanya!.

Bangkitkan semangat PEMUDA!

" Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.(61:10-11)"
muslimdaie90_B1S7